AGC Fail Notis Rayuan Pelepasan, Pembebasan Syed Saddiq 

LocalPolitics
26 Jun 2025 • 3:47 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

AGC Fail Notis Rayuan Pelepasan, Pembebasan Syed Saddiq

PUTRAJAYA — Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta pada Rabu.

“Jabatan ini merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025, yang telah membenarkan rayuan tertuduh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023,

“Ia serta melepas dan membebaskan tertuduh daripada kesemua empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Anak Muda (ARMADA),” kata jabatan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Susulan itu, setelah meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan, AGC telah menfailkan notis rayuan hari ini bagi merayu keputusan pelepasan dan pembebasan berkenaan.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa proses rayuan ini adalah sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah.

“la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” kata jabatan itu.