SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan Notis Rayuan dalam masa terdekat terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepaskan dan membebaskan Wan Muhammad Azri Wan Deris daripada pertuduhan menghasut.
AGC memaklumkan, keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersidang di Mahkamah Sesyen Klang pada Isnin, selepas tertuduh selesai membela diri.
Wan Muhammad Azri yang juga dikenali sebagai Papagomo berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
"Sebelum ini, pihak pendakwaan telah merayu terhadap keputusan terdahulu yang dibuat Mahkamah Sesyen sama pada 3 September 2025, yang mana telah melepaskan dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pendakwaan.
"Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2025," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini Hakim, Siti Aminah Ghazali memutuskan Papagomo dilepaskan dan dibebaskan atas satu pertuduhan menyebut kata-kata menghasut antaranya mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan Barat, tiga tahun lalu.
Keputusan tersebut selepas mendapati peguam bela berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan terhadap Wan Muhammad Azri, 43.
AGC menjelaskan pada 31 Julai 2026, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan rayuan Pendakwa Raya dan memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes secara prima facie.
"Tertuduh kemudian telah mengemukakan pembelaan dengan memberi keterangan secara bersumpah di Mahkamah Sesyen yang sama.
"Tertuduh sebagai satu-satunya saksi pembelaan telah mengakui mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sepertimana dipertuduhkan dan hanya mengemukakan pembelaan berbentuk penafian semata-mata.
"Setelah meneliti keputusan Hakim Mahkamah Sesyen tersebut, AGC memutuskan untuk memfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut dalam masa terdekat," jelasnya.






