SHAH ALAM - Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dijadual berlangsung pada 11 Ogos depan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Seiring perkembangan itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan beberapa cadangan yang menurutnya wajar diberi perhatian dalam perbahasan berkenaan.
Menerusi penstriman langsung di TikTok, Facebook dan YouTube jam 9 malam pada Khamis, beliau berkata, sidang khas itu perlu dimanfaatkan untuk membahaskan laporan RCI secara khusus dan terperinci dari A hingga Z.
Menurutnya, sebelum sidang Parlimen berlangsung, laporan lanjut berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta audit forensik perlu didedahkan sekiranya telah disiapkan atau disegerakan jika masih belum dilaksanakan.
"Kalau dah, dedahkan. Kalau belum, lakukan secepat mungkin. Lepas sesi perbahasan di Parlimen itu sudah tamat, kita kemukakan usul dwiparti (bipartisan) yang disokong oleh semua pihak untuk mengangkat cadangan-cadangan yang dikemukakan RCI ini dan terus laksanakan 100 peratus.
"Untuk memberikan kredit kepada kerajaan hari ini, 75 peratus telah dilaksanakan, tetapi banyak lagi belum.
"Contohnya, menetapkan kriteria untuk memastikan mereka yang benar-benar layak mempunyai pengalaman dalam sektor korporat ataupun kepakaran dalam bidang ini untuk menerajui Tabung Haji, bukannya pemimpin politik yang tidak mempunyai pengalaman sehingga membuat keputusan politik yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit," katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Kewangan dipisahkan, selain mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan sentimen politik atau perkauman dalam isu berkenaan.
"Saya tidak mahu ia menjadi isu perkauman. Menteri Agama mungkin tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pelaburan ini.
"Jangan nanti timbul semula faktor agama seperti sebelum ini sehingga menjadi isu kononnya orang bukan Islam atau bukan Bumiputera mentadbirnya.
"Laporan ini sudah mengesahkan pelan pemulihan itu berjaya dan mengikut prosedur operasi standard (SOP), tanpa sebarang masalah. Siasatan Tabung Haji bukan berakhir pada 2019, malah diteruskan selepas itu dan kabinet juga bersetuju untuk meluaskan lagi kerangka berkenaan," katanya.
Menurut Syed Saddiq, penyelesaian secara rentas parti penting bagi memastikan Tabung Haji terus dipelihara kerana institusi itu adalah milik rakyat Malaysia, khususnya mereka yang memasang niat untuk menunaikan ibadah haji.
Katanya, pendekatan itu juga akan menghantar isyarat kepada pemimpin politik akan datang, termasuk dirinya sendiri serta pemimpin muda daripada UMNO dan Pas supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.
Beliau berkata, episod kerugian berbilion ringgit yang pernah dialami Tabung Haji merupakan 'zaman kegelapan' kerana beban kewangan itu akhirnya dipindahkan kepada generasi akan datang.
"Kita perlu guna duit pembayar cukai, kita perlu ambil pinjaman, kita perlu terbitkan sukuk dan menyediakan suntikan tunai berjumlah RM1.7 bilion setahun supaya Tabung Haji dapat dipulihkan.
"Alhamdulillah, sekarang aset Tabung Haji hampir mencecah RM100 bilion, sama ada di atas kertas mahupun aset sebenar, selain mencatat keuntungan RM3 bilion.
"Ini hasil langkah memisahkan aset-aset bermasalah. Walaupun nilai pasarannya RM10 bilion, kerajaan terpaksa membuat penilaian RM19 bilion dengan julat tertentu bagi memastikan aset bermasalah dapat diselamatkan. Alhamdulillah, hari ini usaha itu membuahkan hasil," katanya.
Beliau berkata, keputusan secara rentas parti adalah baik untuk Malaysia, semua parti politik dan generasi akan datang supaya negara belajar daripada pengalaman lalu tanpa mengulangi kesilapan yang sama.
Syed Saddiq turut memohon maaf kerana tidak dapat mengulas laporan RCI secara lebih mendalam memandangkan bukan mudah merumuskan laporan setebal 211 muka surat dalam tempoh 90 minit.
Beliau berkata, beliau akan mengulasnya lagi di Parlimen sekiranya diberikan peluang, selain berharap siasatan polis, SPRM dan audit forensik dapat dilaksanakan.
Pada masa sama, beliau berkata, antara cadangan dalam laporan RCI ialah supaya Tabung Haji tidak hanya bergantung kepada Jabatan Audit Negara, sebaliknya bekerjasama dengan firma audit antarabangsa.
"Antara firma yang disebut ialah PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Ernst & Young (EY).
"Kita belajar daripada masa lalu untuk bergerak ke hadapan demi masa depan. Jangan kita fokus kepada populariti sehingga mewujudkan liabiliti pada masa akan datang," katanya.






