
ANTALYA sudah menyaksikan banyak empayar datang dan pergi. Pada 9 November, kota pelabuhan purba di pesisir Mediterranean Turkiye ini bakal menyambut tetamu baharu.
Ribuan perwakilan dari lebih 190 negara tiba untuk Persidangan Pihak-Pihak (COP) ke-31.
Persidangan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ini diadakan hampir setiap tahun sejak 1995.
COP31 juga yang pertama dengan kepresidenan dikongsi dua negara. Turkiye menjadi tuan rumah, manakala Australia mengetuai rundingan. Kedua-duanya menjadikan pengelektrikan agenda utama, dengan sasaran menaikkan bahagian elektrik dalam penggunaan tenaga akhir dunia daripada kira-kira 20 peratus kini kepada 35 peratus menjelang 2035.
Malaysia pula akan membentangkan Kenyataan Negara berteraskan lima tonggak iaitu komitmen, ketelusan, ekonomi karbon, dasar dan diplomasi iklim.
Namun, bagi negara pesat membangun seperti Malaysia, mengimbangi pembangunan dengan tuntutan iklim bukan perkara mudah. Sumbangan kita kepada pelepasan gas rumah hijau dunia hanya kira-kira 0.8 peratus tetapi pelepasan per kapita kita sekitar 14.3 tan pada 2022, antara yang tertinggi di Asia Tenggara.
Ini kerana kira-kira 80 peratus pelepasan karbon kita berpunca daripada bahan api fosil, terutamanya bagi penjanaan elektrik dan pengangkutan. Pada masa sama, hasil minyak dan gas menyumbang bahagian penting pendapatan kerajaan.
Walaupun begitu, kerajaan memilih menjadi warga dunia yang bertanggungjawab. Menerusi Sumbangan Ditentukan Secara Nasional (NDC) di bawah Perjanjian Paris, Malaysia beralih daripada sasaran intensiti karbon kepada had pelepasan mutlak. Pelepasan negara dijangka memuncak antara 2029 dan 2034 sebelum dikurangkan 15 hingga 30 juta tan setara karbon dioksida menjelang 2035.
Pilihan ini berakar pada rekod panjang Malaysia di meja rundingan iklim.
Di Sidang Kemuncak Bumi Rio 1992, Malaysia lantang membela hak negara membangun untuk membangun, sekali gus memperjuangkan prinsip tanggungjawab bersama tetapi berbeza.
Di COP15 Copenhagen pada 2009, Malaysia menawarkan pengurangan intensiti pelepasan sehingga 40 peratus menjelang 2020, sebelum meningkatkannya kepada 45 peratus menjelang 2030 di COP21 Paris.
Di Paris juga, jururunding kita bersama blok negara membangun menuntut perjanjian itu mengekalkan kewajipan negara maju menyediakan pembiayaan iklim.
Pendirian sama akan dibawa ke Antalya. Malaysia akan menegaskan NDC mesti kekal ditentukan setiap negara, manakala aspirasi pengurangan pelepasan yang lebih tinggi mesti disertai pembiayaan iklim yang benar-benar sampai kepada negara membangun.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berjanji Malaysia akan meneruskan momentum COP30 di Belém, berteraskan perpaduan negara membangun dan kerjasama strategik yang pragmatik dengan rakan antarabangsa.
Agenda pengelektrikan COP31 sememangnya selari dengan iltizam Malaysia. Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyasarkan tenaga boleh baharu membentuk 40 peratus kapasiti terpasang menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.
Tiada loji jana kuasa arang batu baharu akan dibina manakala loji sedia ada dipersarakan sebaik perjanjian pembelian tenaganya tamat.
Insentif cukai hijau bagi kenderaan elektrik pula meringankan beban subsidi bahan api.
KOMITMEN IKLIM PERLU BERLANDASKAN UNDANG-UNDANG
Namun, komitmen antarabangsa hanya bermakna apabila diterjemahkan menjadi undang- undang domestik.
Di peringkat sektoral, Akta Kecekapan dan Penjimatan Tenaga 2024 mewajibkan pengguna tenaga besar mengaudit penggunaan tenaga, manakala Akta Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 membuka sektor baharu penyimpanan karbon dioksida dalam takungan geologi.
Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) pula akan memayungi usaha sektoral ini.
RUUPIN mengangkat sasaran sifar bersih 2050 daripada aspirasi dasar kepada kewajipan undang-undang. Ia akan mewajibkan pelaporan pelepasan dan menyusun pasaran karbon domestik, sekali gus meletakkan asas bagi cukai karbon. Apabila karbon diberi harga yang jelas, pelabur dan bank akhirnya mendapat isyarat jangka panjang yang stabil.
Pelaksanaannya, bagaimanapun, banyak bergantung pada kerajaan negeri yang memegang kuasa ke atas tanah dan hutan. Justeru, Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) yang mengganjari negeri yang mengekalkan hutan sayugia diperluas dengan formula berasaskan prestasi.
RUUPIN turut meletakkan adaptasi setara dengan mitigasi kerana rakyat sudah merasai kesan perubahan iklim. Banjir Disember 2021 sahaja menyebabkan kerugian kira-kira RM6.1 bilion.
Dalam jangka panjang, Bank Dunia menganggarkan perubahan iklim tanpa kawalan boleh Mengecilkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sehingga 8.3 peratus menjelang 2050.
Dari sudut fiskal, setiap bencana ialah liabiliti yang tidak dirancang. Bantuan banjir dan kos membaiki infrastruktur dibayar daripada dana awam yang sepatutnya membiayai sekolah dan hospital.
Namun, langkah adaptasi bersasar dianggarkan mampu mengelakkan kira-kira separuh kerugian itu. Oleh itu, Pelan Adaptasi Nasional (MyNAP) yang dijadualkan siap tahun depan akan memperkukuh daya tahan negara.
Kerajaan bagaimanapun tidak mampu memikul beban ini bersendirian. Kejayaan agenda iklim memerlukan pendekatan seluruh negara. Syarikat tersenarai kini dikehendaki melaporkan risiko iklim, manakala bank menguji ketahanan portfolio mereka terhadap senario iklim hingga 2050.
Malah, firma yang mengukur pelepasan hari ini lebih bersedia menghadapi cukai karbon dan pelarasan sempadan karbon di pasaran eksport. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pula memerlukan bantuan teknikal dan pembiayaan hijau supaya tidak tercicir.
Rakyat juga ada peranannya. Menjimatkan elektrik, memasang solar bumbung, beralih kepada pengangkutan awam atau kenderaan elektrik dan menyertai pelan kesiapsiagaan banjir komuniti memberi kesan langsung kepada agenda iklim negara.
Sementara itu, musim tengkujuh hampir tiba. Ketika Kenyataan Negara dibacakan di Antalya, ribuan penduduk Pantai Timur mungkin sedang mengharungi air bah.
Bagi Malaysia, kejayaan COP31 akan terukur di sana, apabila dalam dekad mendatang semakin sedikit keluarga perlu bermalam di pusat pemindahan sementara. –UTUSAN
DR. Hezri Adnan ialah Felo Akademi Sains Malaysia dan bekas ahli Panel Sumber Antarabangsa (IRP), Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
The post Agenda iklim perlu seiring pembangunan negara appeared first on Utusan Malaysia.



