Agenda Industri Kreatif Akan DiBincangkan Dengan Kementerian

1 Oct 2024 • 1:25 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan mencadangkan agenda melibatkan industri kreatif untuk membentuk kerjasama penerbitan filem serantau dengan negara-negara Asia Tenggara kepada kementerian berkaitan.
 
Pengerusi Finas Datuk Kamil Othman berkata, langkah itu sejajar dengan usaha melonjakkan filem Malaysia ke pentas antarabangsa.


Bagaimanapun ia masih dalam peringkat peringkat perbincangan.
 

“Tahun depan, apabila Malaysia menjadi pengerusi sidang kemuncak ASEAN, kami akan mencadangkan agenda untuk industri kreatif iaitu memperoleh komisen filem yang setara seperti rakan Finas dari negara Asia Tenggara, dengan mengadakan mesyuarat semasa sidang kemuncak itu.
 

"Kita akan bentangkan cadangan ini kepada menteri berkaitan,"
ringkasnya kepada media di majlis Sidang Media Asia Pasific Fest KL pada Isnin.
 
Kamil berkata kerjasama yang dicadangkan itu, bukan sahaja dapat memanfaatkan kepakaran penerbit filem dari negara berbeza, tetapi juga meningkatkan bahagian pemasaran filem.
 

“Kami yakin, jika kami membuka kerjasama serantau itu dalam aspek penerbitan, pembiayaan dan pemasaran, aspirasi negara kita untuk membawa filem terbitan tempatan melangkaui sempadan Malaysia boleh menjadi kenyataan,” katanya.

 
Sementara itu, beliau menasihatkan penerbit filem tempatan supaya belajar daripada filem antarabangsa yang memenangi anugerah dan membandingkan jalan cerita dengan filem arahan mereka sendiri.
 
Beliau juga mengesyorkan penggunaan teknologi moden untuk menjadikan filem mereka setanding dan melepasi halangan bahasa, selain memfokuskan jalan cerita yang lebih inklusif kepada penonton antarabangsa.