
KUALA LUMPUR - Masa depan kriket negara nampaknya semakin suram, apabila kemelut yang melanda Persatuan Kriket Malaysia (MCA) semakin parah.
Bukan sahaja dilanda krisis kepimpinan yang bagaikan tiada noktah, MCA juga kini berdepan dakwaan penyelewengan dalam beberapa aspek.
Getaran diberitahu, antara penyelewengan yang dikesan berlaku termasuk dari aspek tadbir urus, keahlian dan pilihan raya yang diragui kesahihannya.
Sumber memberitahu, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA pada 27 April lalu berlangsung dalam keadaan yang amat ‘menakutkan’.
Katanya, acara berkenaan dikawal ketat oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan beberapa individu seakan pengawal peribadi.
“Seumur hidup, inilah kali pertama saya berdepan dan menyaksikan sendiri satu mesyuarat yang diadakan dalam situasi penuh tegang.
“Dengan anggota RELA yang berkawal, ia lebih kelihatan seperti ‘perhimpunan rahsia’ pihak tertentu,” katanya kepada Getaran ketika dihubungi.
Menurut beliau, kawalan ketat itu menimbulkan tanda tanya; apa sebenarnya yang berlaku?
Katanya, semua perwakilan yang hadir juga diwajibkan membawa kad akreditasi atau tidak dibenarkan masuk.
“Sejak bila AGM persatuan kriket mengenakan peraturan seketat ini? Sudahlah dikawal ketat, ada pula peraturan tak masuk akal,” katanya, kesal.
Beliau memberitahu, situasi ‘dalaman’ MCA juga jelas bercelaru dan kelam kabut, hingga menyebabkan perwakilan biasa sepertinya keliru.
“Kami menerima dua notis, satu notis memaklumkan mengenai AGM pada 27 April, satu lagi pula memaklumkan yang ia ditangguhkan.
“Kami juga diberi amaran akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya hadir,” katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Mohammed Iqbal Ali Kassim Ali dengan nada keras berkata, AGM terbabit jelas tidak sah dan mencabuli perlembagaan sedia ada.
Katanya, keputusan yang terhasil pada mesyuarat tersebut tidak membawa sebarang nilai kerana AGM berkenaan hanyalah satu ‘perhimpunan haram’ dan menyalahi undang-undang persatuan.
“Ia adalah acara yang tidak diiktiraf, tidak sah dari segi undang-undang persatuan.
“Semua pihak harus bersatu dan mempertahankan integriti sukan kriket negara daripada dicabuli pihak yang gila kuasa,” tegasnya.
Iqbal sebelum ini memaklumkan, kedudukan beliau sebagai Presiden diiktiraf secara rasmi oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan.
Getaran difahamkan, mana-mana perwakilan yang terlibat dengan AGM tersebut boleh dikenakan tindakan menurut Perlembagaan MCA dan Akta Pembangunan Sukan 1997. - Getaran, 5 Mei 202



