Agong lawat dua pusat pembuatan pertahanan teknologi canggih di Abu Dhabi

LocalPolitics
24 Dec 2025 • 10:12 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan melawat dua pusat teknologi canggih serta fasiliti pembuatan pertahanan milik Kumpulan EDGE, sebuah konglomerat pertahanan terkemuka Emiriah Arab Bersatu, iaitu NIMR dan CARACAL di Abu Dhabi hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Lawatan Khas Seri Paduka Baginda ke Emiriah Arab Bersatu yang bermula semalam. Keberangkatan ini mencerminkan hubungan diplomatik dan kerjasama strategik yang berterusan antara Malaysia dan UAE, khususnya dalam bidang teknologi dan pertahanan.

Seri Paduka Baginda tiba di NIMR yang terletak di Pusat Perindustrian Tawazun, Abu Dhabi, dan disambut oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EDGE, Hamad Al Marar. Baginda kemudiannya berkenan mendengar sembah taklimat yang disampaikan oleh Presiden Kluster Platform dan Sistem EDGE, Khaled Al Zaabi, berkaitan keupayaan teknologi serta pembangunan kenderaan ketenteraan berprestasi tinggi yang dihasilkan oleh syarikat tersebut.

Usai lawatan di NIMR, Sultan Ibrahim berangkat ke CARACAL dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamad Al Ameri. CARACAL dikenali sebagai pengeluar senjata kecil terkemuka di bawah Kumpulan EDGE, dengan kepakaran dalam pembuatan senjata api moden untuk kegunaan ketenteraan dan keselamatan.

Semasa lawatan di CARACAL, Seri Paduka Baginda turut mempamerkan kemahiran menembak apabila berkenan mencuba senapang penembak tepat CSR 308 di lapang sasar sejauh 100 meter, sekali gus menarik perhatian pihak pengurusan dan delegasi yang hadir.

Lawatan ini dilihat sebagai peluang untuk Malaysia menilai perkembangan terkini teknologi pertahanan global di samping memperkukuh hubungan dua hala dengan Emiriah Arab Bersatu dalam sektor strategik bernilai tinggi.

Sumber: BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved