OpenAI, Samsung Dan SK Hynix Menandatangani Perjanjian Untuk Pembelian Wafer Memori

TechnologyBusiness & Finance
22 Dec 2025 • 12:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

OpenAI, syarikat pembangun teknologi kecerdasan buatan disebalik perkhidmatan ChatGPT baru-baru ini telah mengumumkan kerjasama untuk memesatkan pembangunan projek pusat data AI Stargate di Amerika Syarikat, dan juga pusat data kecerdasan buatan di Korea Selatan.

CEO dan pengasas OpenAI Sam Altman baru-baru ini telah bertemu dengan Presiden Korea Selatan Lee Jae-myung, Pengerusi Eksekutif Samsung Electronics Jay Y. Lee dan Pengerusi SK Hynix Chey Tae-won untuk menandatangani perjanjian bekalan wafer cip memori supaya OpenAI boleh mendapatkan bekalan memori lebih awal berbanding pesaing-pesaing lain.

Melalui perjanjian ini, Samsung Electronics dan SK Hynix dijangka akan menghasilkan sebanyak 900 ribu keping wafer setiap bulan khusus untuk OpenAI bagi membolehkan mereka menguasakan jaringan pusat data Stargate di Amerika Syarikat.

image is not available

Dalam pada itu, OpenAI juga telah menandatangani perjanjian baru dengan sejumlah syarikat Korea Selatan seperti SK Telecom, Samsung C&T, Samsung Heavy Industries dan Samsung SDS untuk membuka pusat data baru di negara tersebut. Samsung Electronics dan SK Hynix juga dikatakan akan menggunakan khidmat ChatGPT untuk mempercekapkan operasi syarikat.

Sam Altman mengatakan bahawa Korea Selatan mempunyai kriteria yang mencukupi untuk menjadi sebuah negara pemimpin dalam industri AI, termasuklah pekerja berkemahiran, infrastruktur bertaraf dunia, sokongan kerajaan yang menyeluruh dan ekosistem AI yang mantap.

Buat masa ini, ia tidak diketahui lagi berapa nilai penjualan wafer memori kedua-dua syarikat tersebut kepada OpenAI, tetapi ia dijangka mencecah $70 bilion menjelang tahun 2029.