Agong, Permaisuri zahir takziah kepada Sultan Terengganu atas kemangkatan adinda

5 Jul 2023 • 4:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah serta kerabat diraja Terengganu atas kemangkatan Tengku Norhana Fatihah Almarhum Sultan Mahmud semalam.

Almarhumah merupakan adinda kepada Sultan Mizan mangkat pada 4.52 pagi semalam di Hospital Gleneagles, di sini.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Almarhumah dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarganya sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,“ menurut hantaran itu.

Jenazah Tengku Norhana Fatihah disemadikan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah semalam dan Sultan Mizan menitahkan tempoh berkabung selama tiga hari. -Bernama