
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita bergelar ibu di seluruh negara.
Sultan Ibrahim bertitah, ibu adalah guru pertama, pelindung dan pembentuk karakter manusia yang bakal mencorak masa depan bangsa.
“Seorang ibu memegang pelbagai peranan dalam membentuk jati diri manusia.
“Daripada mereka, kita belajar tentang nilai ihsan, ketabahan dan erti pengorbanan,” titah Seri Paduka Baginda.
Baginda memberi ingatan, berbakti kepada ibu adalah kunci kepada keberkatan hidup dunia dan akhirat, seperti yang dituntut dalam agama.
Seri Paduka Baginda juga berkenan menzahirkan penghargaan mendalam buat Raja Permaisuri Agong atas ketulusan dan dedikasi baginda membesarkan semua anakanda dengan limpahan kasih sayang.
Baginda berdua turut menyeru rakyat untuk terus mendoakan kesejahteraan bonda-bonda yang telah pergi mendahului.
“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Almarhumah bonda, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah dan Almarhumah Raja Perempuan Muzwin. Al-Fatihah,” titah Seri Paduka Baginda. - Getaran, 10 Mei 2026






