Menjelang Jubli Berlian Hubungan Diplomatik, Sultan Ibrahim, Putin Perkukuh Hubungan Malaysia-Rusia

10 May 2026 • 9:36 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Menjelang Jubli Berlian Hubungan Diplomatik, Sultan Ibrahim, Putin Perkukuh Hubungan Malaysia-Rusia

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Rusia bersedia memperkukuh hubungan dua hala menjelang ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun depan. 

Kesepakatan tersebut dicapai menerusi  pertemuan antara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin, Moscow.

Pertemuan berprofil tinggi itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara untuk meningkatkan kerjasama strategik selepas lebih enam dekad hubungan diplomatik yang merangkumi perdagangan, ekonomi serta kerjasama antarabangsa.

Menurut kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda menyifatkan hubungan Malaysia-Rusia semakin berkembang dan telah menjadi satu perkongsian yang kukuh serta produktif, sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1967.

“Perjalanan panjang yang ditempuhi bersama serta pencapaian besar dalam hubungan Malaysia-Persekutuan Rusia wajar diraikan menerusi sambutan yang bermakna dan bersejarah,” titah baginda semasa pertemuan tertutup bersama Putin.

Dalam pertemuan berkenaan, Sultan Ibrahim turut berkenan menjemput Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia tahun depan, sempena sambutan jubli berlian hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Baginda bertitah, lawatan terbabit diyakini mampu menjadi pemangkin baharu dalam memperluas kerjasama strategik antara Kuala Lumpur dan Moscow.

Pertemuan di Kremlin itu berlangsung selepas kedua-dua pemimpin mengadakan sesi perbincangan di St Petersburg Januari lalu, yang disifatkan Sultan Ibrahim sebagai konstruktif dan positif.

Putin pula menyambut baik hubungan erat antara Rusia dan Malaysia serta menegaskan komitmen Moscow untuk terus memperkukuh kerjasama diplomatik, ekonomi serta pelbagai hala dengan Kuala Lumpur.

“Hubungan antara negara kita berkembang dengan baik. Tahun depan kita akan menyambut ulang tahun hubungan diplomatik,” katanya.

Beliau berkata, Rusia dan Malaysia terus bekerjasama secara aktif dalam forum antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN, selain memperluaskan hubungan perdagangan serta ekonomi.

“Hubungan perdagangan dan ekonomi antara Rusia dan Malaysia terus berkembang dan terdapat semua prasyarat untuk mengatasi sedikit penurunan dalam perdagangan.

“Saya juga berharap hubungan antara kedua-dua negara akan terus berkembang dengan stabil seperti yang berlaku setakat ini,” katanya.

Dalam lawatan berkenaan, Sultan Ibrahim turut mencipta sejarah apabila menjadi Ketua Negara Malaysia pertama dijemput sebagai Tetamu Kehormat pada sambutan Hari Kemenangan ke-81 Rusia di Moscow.

Jemputan khas daripada Putin itu dilihat sebagai satu pengiktirafan diplomatik penting oleh kerajaan Rusia terhadap hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara serta peningkatan profil Malaysia di peringkat antarabangsa.

Baginda turut menyertai beberapa pemimpin dunia lain di Dataran Merah bagi menyaksikan perarakan ketenteraan tahunan sempena memperingati kemenangan Kesatuan Soviet dalam Perang Dunia Kedua dari 1941 hingga 1945.

Antara pemimpin asing yang hadir termasuk Presiden Belarus, Aleksandr Lukashenko; Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev; Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev; Presiden Laos, Thongloun Sisoulith; serta Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico.

Lawatan berkenaan turut dilihat menyerlahkan peranan institusi diraja Malaysia yang semakin aktif dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan memperluaskan jaringan antarabangsa demi kepentingan negara. - Getaran, 10 Mei 2026