
KUALA LUMPUR – Nikmat perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum yang sekian lama terjalin menjadi antara perkara dizahirkan rasa syukur oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, perpaduan yang dinikmati rakyat merupakan asas penting kepada kekuatan dan kestabilan negara.
“Syukur atas nikmat perpaduan dan keharmonian yang sekian lama terjalin dalam kalangan rakyat berbilang kaum serta menjadi asas penting kepada kekuatan dan kestabilan negara,” titah Baginda menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar Malaysia sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keberkatan Allah SWT, selain dikurniakan keamanan berpanjangan serta dilindungi daripada segala bentuk musibah.
Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun bagi memperingati pembentukan Malaysia pada 1963.
The post Agong, Raja Permaisuri zahir syukur nikmat perpaduan, doakan Malaysia terus aman appeared first on MYBERITA.






