Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan tahniah buat beregu lelaki negara

28 Aug 2022 • 7:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar ucapan tahniah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kepada beregu lelaki negara pada Ahad.

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas kejayaan melakar sejarah menjadi pemain badminton pertama negara berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.

Turut menzahirkan ucapan tahniah, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara menerusi kenyataan pada petang Ahad berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan tersebut yang sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

"Pencapaian cemerlang Aaron dan Wooi Yik telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

"Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia," katanya.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian tersebut akan membakar semangat Aaron dan Wooi Yik untuk terus berlatih serta bekerja keras untuk kejohanan-kejohanan mendatang serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Aaron dan Wooi Yik serta mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan," tambahnya.

Aaron dan Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung negara di pentas Kejohanan Badminton Dunia selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra 21-19,21-14 pada aksi final edisi ke-27 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun pada Ahad.