Agong Sanjung Jasa Warga ATM, Pertahan Kedaulatan Negara 

16 Sep 2026 • 4:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan penghargaan dan penghormatan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas jasa serta pengorbanan mereka dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.

Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan itu menerusi hantaran di Facebook bersempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-93, hari ini.

Baginda yang juga Pemerintah Tertinggi ATM mendoakan agar seluruh anggota yang sedang berkhidmat sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kekuatan serta semangat juang tinggi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi negara.

Image from: Agong Sanjung Jasa Warga ATM, Pertahan Kedaulatan Negara 

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada veteran ATM atas segala sumbangan dan pengorbanan dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, selain mengenang jasa anggota yang telah meninggal dunia.

“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” titah Baginda.

Sambutan Hari ATM ke-93 diadakan sebagai penghargaan terhadap khidmat dan pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan serta keselamatan negara terus terpelihara. - Getaran, 16 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved