
PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala khidmat bakti dan pengorbanan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara.
Penghargaan itu dizahirkan Sultan Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93.
Sultan Ibrahim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM turut mendoakan agar seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan baik, kekuatan serta semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi tanah air tercinta.
Pada hantaran itu juga, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada para pesara ATM atas segala sumbangan, jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam pasukan.
Baginda turut mengenang jasa anggota ATM yang telah pergi meninggalkan dunia buat selama-lamanya.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” titah Seri Paduka Baginda.
Hari ATM Ke-93 disambut sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan seluruh warga pasukan dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara. – KOSMO! ONLINE
The post Agong hargai pengorbanan warga ATM pertahan kedaulatan negara appeared first on Kosmo Online.






