
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti dan pengorbanan para pegawai serta anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM turut berkenan mengucapkan selamat menyambut Hari ATM Ke-93 kepada seluruh warga pasukan itu.
Sultan Ibrahim juga mendoakan agar seluruh warga ATM sentiasa dikurniakan kesihatan baik, kekuatan serta semangat juang yang tinggi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab demi tanah air tercinta.
Pada masa sama, penghargaan turut dizahirkan kepada para pesara ATM atas segala sumbangan, jasa dan pengorbanan yang dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam pasukan.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga roh mereka dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,” titah Seri Paduka dalam hantaran Facebook Sultan Ibrahim. – UTUSAN
The post Agong hargai pengorbanan ATM pertahankan negara appeared first on Utusan Malaysia.






