
JOHOR BAHRU - Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan di Istana Pasir Pelangi, di sini.
Menurut hantaran rasmi menerusi laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sesi menghadap tersebut berlangsung di Pavilion 2, Kawasan Polo Istana Pasir Pelangi.
Turut hadir mengiringi kunjungan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, serta Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, Ng Kuan Hai.
Pertemuan peringkat tertinggi ini mempertemukan Ketua Negara Malaysia dengan Menteri Luar Republik Singapura di Johor, sebuah wilayah yang sejak sekian lama menjadi nadi penting dalam hubungan bilateral menerusi ikatan geografi, jaringan ekonomi, serta hubungan rapat antara rakyat kedua-dua negara.
Malaysia dan Singapura terus komited memperluaskan kerjasama menyeluruh merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan, keselamatan, serta hubungan rentas sempadan. - Getaran, 3 September 2026





