
PETALING JAYA – Masjid Sultan Abu Bakar dari Johor muncul juara Kejohanan Bola Sepak Antara Masjid Seluruh Malaysia Piala Menteri Hal Ehwal Agama 2026 di Padang ILSAS, Bangi, Sabtu dan Ahad, lalu.
Bertemakan ‘Aksi Bola Merdeka’, kejohanan anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Kelab Bola Sepak MAIWP (MAIWP FC) itu bukan sekadar mencari pasukan terbaik di atas padang, tetapi menjadi medan menyatukan komuniti masjid, memperkukuh ukhuwah dan mendekatkan generasi muda dengan institusi masjid.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli bin Hasan berkata, masjid perlu terus hidup sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebajikan, kesukarelawanan, riadah serta pembangunan masyarakat.
“Bola sepak mengajar kita bahawa sehebat mana pun seorang pemain, dia tidak mampu menang bersendirian. Begitu juga dalam membangunkan ummah. Kita perlu bergerak bersama, saling melengkapi dan saling menguatkan,” katanya.
Tempat kedua dimenangi Masjid Sultan Ahmad Shah 2 (Pahang) manakala tempat ketiga diraih Masjid Kota Damansara (Selangor) dan Masjid Al-Muqarrabin (Kuala Lumpur).
Beliau berkata, penyertaan 22 buah masjid membawa makna lebih besar daripada sekadar 22 pasukan, sebaliknya menghimpunkan 22 komuniti yang datang dengan latar berbeza, dipertemukan oleh satu semangat persaudaraan.
Selaras dengan tema ‘Aksi Bola Merdeka’, pemain mungkin turun dengan jersi dan negeri yang berbeza, namun semuanya berdiri di bawah satu Jalur Gemilang dan satu semangat kebersamaan.
Pasukan juara akan membawa pulang RM3,000, piala pusingan dan medal, selain berpeluang menyertai perlawanan persahabatan bersama MAIWP FC dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). – KOSMO! ONLINE
The post Masjid Sultan Abu Bakar juarai Piala Menteri Hal Ehwal Agama 2026 appeared first on Kosmo Digital.






