Akses Platform Media Sosial Gagal Lindungi Remaja Boleh Disekat, Singapura Ambil Langkah Tegas 

WorldTechnology
1 Sep 2026 • 7:45 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Akses Platform Media Sosial Gagal Lindungi Remaja Boleh Disekat, Singapura Ambil Langkah Tegas 

SINGAPURA - Platform media sosial yang gagal melaksanakan langkah perlindungan mencukupi terhadap pengguna remaja berdepan kemungkinan disekat daripada diakses individu berusia bawah 18 tahun di Singapura.

Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura, Josephine Teo berkata, platform pada peringkat awal akan diberi ruang mencadangkan sistem pengesahan umur masing-masing, namun keberkesanannya akan dinilai oleh Infocomm Media Development Authority (IMDA).

Langkah itu dilihat lebih ketat berbanding had umur minimum 13 tahun yang kini ditetapkan kebanyakan platform media sosial utama.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata, had umur berkenaan sukar dikuatkuasakan kerana pengguna hanya perlu mengisytiharkan umur mereka ketika mendaftar.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan media sosial secara bermasalah dalam kalangan golongan muda, dengan satu daripada enam rakyat Singapura berusia antara 10 hingga 24 tahun menunjukkan tanda-tanda tingkah laku berkenaan.

Di bawah cadangan peraturan baharu itu, platform turut diwajibkan memperkukuh perlindungan berkaitan ciri seperti autoplay dan infinite scrolling, selain meningkatkan kawalan terhadap interaksi remaja dengan individu tidak dikenali dalam talian.

Platform yang gagal atau enggan melaksanakan langkah keselamatan ditetapkan boleh berdepan peningkatan had umur minimum akses daripada 13 kepada 18 tahun.

“Jika sesuatu platform mengatakan mereka tidak bersedia untuk memperkenalkannya, ia mungkin tidak lagi boleh diakses pengguna bawah 18 tahun, bukannya hanya pengguna bawah 13 tahun,” kata Teo.

Kerajaan Singapura merancang mengemukakan pindaan perundangan di Parlimen pada awal 2027 bagi memberikan IMDA kuasa lebih jelas untuk menguatkuasakan keperluan berkenaan terhadap platform yang tidak mematuhi peraturan.

Rejim awal pengesahan umur itu dijangka meliputi enam perkhidmatan yang ditetapkan di bawah Kod Amalan Keselamatan Dalam Talian Singapura, iaitu Facebook, Instagram, TikTok, HardwareZone, X dan YouTube.

Skop peraturan itu juga berkemungkinan diperluaskan kepada perkhidmatan dalam talian lain pada masa depan, termasuk platform permainan video, aplikasi pemesejan dan perkhidmatan chatbot kecerdasan buatan (AI).

Pengesahan umur boleh dilaksanakan melalui beberapa kaedah, termasuk menganggarkan umur pengguna berdasarkan data biometrik, menentukan julat umur menerusi corak penggunaan atau menyemak umur individu berdasarkan rekod rasmi.

Kerangka yang dicadangkan itu akan mengalihkan tanggungjawab lebih besar kepada pengendali platform teknologi dengan mewajibkan mereka membuktikan sistem masing-masing berkesan dalam melindungi pengguna lebih muda.

Pendekatan itu tidak lagi bergantung kepada pengisytiharan umur oleh pengguna semata-mata.

Bagi keluarga di Singapura, perubahan berkenaan bermakna akses remaja kepada sesetengah platform media sosial pada masa depan bukan sahaja bergantung kepada umur, tetapi turut dipengaruhi tahap pematuhan platform terhadap keperluan keselamatan yang ditetapkan kerajaan. - Getaran, 1 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved