Agong titah siasat, jangan ada terlepas

LocalPolitics
9 Aug 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Agong titah siasat, jangan ada terlepas

PETALING JAYA: Siasatan ber­kaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dan isu membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan agar siasatan dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Jangan ada yang terlepas daripada tindakan sekiranya benar-benar didapati bersalah. Yang penting, perkara seperti ini tidak boleh berulang,” titah Seri Paduka.

Semalam, Sultan Ibrahim menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Seri Paduka turut berkenan dipersembahkan taklimat siasatan RCI TH dan isu semasa membabitkan Felda.

Sebelum ini, Laporan RCI TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 mendedahkan kerugian, amalan perakaunan kreatif yang menyembunyikan kerugian bersih sebenar dan pelantikan lembaga pengarah dalam kalangan ahli politik

Laporan yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri me­nunjukkan TH mengalami kerugian RM10 bilion, sekali gus mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran.

Sementara itu, dalam per­kembangan mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sultan Ibrahim menitahkan, kementerian dan agensi berkaitan supaya memperkukuh kawalan dan tahap keselamatan di semua lapangan terbang dan pintu masuk negara.

Baginda bertitah, langkah itu bagi membendung kegiatan penyeludupan dadah serta jenayah rentas sempadan.

“Aspek keselamatan di pintu masuk negara perlu sentiasa diperkasa menerusi penguatkuasaan yang lebih berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan,” titah Seri Paduka.

Anwar selepas menghadap Sultan Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan siasatan berhubung laporan RCI TH secara menyeluruh tanpa kompromi, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, setiap syor dan dapatan RCI akan diteliti serta disiasat secara tuntas bagi memastikan pihak yang didapati menyalahgunakan amanah rakyat dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang.

“TH menguruskan amanah yang lahir daripada hasil ke­ringat jutaan rakyat, termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.

“Amanah sebesar ini tidak seharusnya dikhianati. Jus­teru, sesiapa yang didapati me­nyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang,” katanya. – UTUSAN

The post Agong titah siasat, jangan ada terlepas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved