RCI Tabung Haji disiasat tanpa kompromi

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 4:08 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RCI Tabung Haji disiasat tanpa kompromi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan siasatan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) secara menyeluruh tanpa kompromi, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap syor dan dapatan RCI akan diteliti serta disiasat secara tuntas bagi memastikan pihak yang didapati menyalahgunakan amanah rakyat dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang.

“TH menguruskan amanah yang lahir daripada hasil keringat jutaan rakyat, termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.

“Amanah sebesar ini tidak seharusnya dikhianati. Justeru, sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Instagram selepas menghadap Sultan Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini hari ini.

Sultan Ibrahim menitahkan agar siasatan RCI TH dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Anwar berkata, titah Sultan Ibrahim adalah selari dengan iltizam Kerajaan Madani untuk memastikan setiap syor dan dapatan disiasat secara tuntas.

“Baginda tuanku turut menyentuh perkembangan berkaitan Felda dan saya telah menyembah maklum mengenai kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi kerajaan agar segala penemuan diteliti secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang.

“Kerajaan Madani terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya.

Anwar memaklumkan, kerajaan turut memberi perhatian terhadap titah Sultan Ibrahim supaya kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara diperkukuh bagi membendung jenayah rentas sempadan.

Katanya, kerajaan akan memperkukuh penguatkuasaan, pemantauan berterusan dan kerjasama antara agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Insya-Allah, saya dan seluruh jentera kerajaan akan sentiasa menjunjung titah baginda tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

The post RCI Tabung Haji disiasat tanpa kompromi appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved