
PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa supaya fokus siasatan dan tindakan susulan segera ditumpukan kepada tiga isu paling kritikal yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH).
Tiga isu itu adalah kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik, kelemahan pelaporan kewangan dan pengiktirafan kerugian serta agihan hibah yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.
Naib Ketua AMK, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, penglibatan ahli politik menimbulkan persoalan terhadap kebebasan, profesionalisme dan kebertanggungjawaban pengurusan institusi yang mengurus simpanan jutaan umat Islam.
Selain itu, beliau berkata, cara kedudukan kewangan TH dilaporkan termasuk pengiktirafan kerugian dan kemerosotan nilai pelaburan juga merupakan isu yang kritikal.
Katanya, jurang besar perbezaan kerugian yang dilaporkan TH dan RCI menimbulkan persoalan terhadap sejauh mana ketepatan gambaran kewangan yang menjadi asas kepada keputusan pengurusan dan agihan hibah.
“RCI turut mendapati keputusan membayar hibah pada kadar tinggi dalam tempoh tertentu dibuat ketika kedudukan kewangan TH berada di bawah tekanan, sehingga membawa kepada penghakisan rizab.
“Dari sudut ekonomi, pulangan kepada pendeposit perlu disokong oleh prestasi pendapatan dan kedudukan aset sebenar institusi, bukan semata-mata untuk mengekalkan kadar hibah yang tinggi demi laba politik, namun boleh memberi dampak kewangan yang buruk di masa depan.
“Jika hibah diagihkan ketika kemampuan kewangan tidak mencukupi, ia akhirnya boleh menjejaskan daya tahan kewangan TH dan kepentingan jangka panjang pendeposit,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mohammed Taufiq berkata, ketiga-tiga isu itu saling berkait, kerana kelemahan tadbir urus boleh mempengaruhi kualiti keputusan, kelemahan pelaporan kewangan boleh mengaburkan kedudukan sebenar institusi, manakala keputusan agihan hibah yang tidak sepadan dengan kemampuan kewangan boleh menghakis rizab.
“Inilah antara persoalan asas yang perlu diberi perhatian serius susulan pendedahan RCI TH sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, AMK menggesa Pasukan Khas Penguatkuasa yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan audit forensik secara mendalam bagi menjejak aliran wang serta mendakwa mana-mana dalang yang bertanggungjawab atas penyembunyian maklumat mahupun kecurangan amanat.
“Apa yang berlaku kepada TH adalah satu lagi tragedi salah guna kuasa dan pecah amanah di Malaysia, sepertimana kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Felda.
“Namun apa yang berlaku kepada TH sebenarnya lebih mengguris perasaan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam, memandangkan peranan institusi ini dalam menjaga urusan Rukun Islam kelima umat Islam,” katanya.
Tambahnya, sebarang bentuk salah guna kuasa, salah urus tadbir, mahupun ketirisan dana dalam institusi ini bukan sekadar penyelewengan kewangan biasa, tetapi merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah umat Islam.
“Menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini, AMK menegaskan ia perlu menjadi medan perbahasan yang menyeluruh, berani dan telus dalam membicarakan isu salah tadbir urus dalam TH.
“Pihak-pihak yang telah mengkhianati serta merosakkan institusi umat Islam ini tidak boleh lagi berselindung di sebalik kedudukan mahupun pengaruh politik, biar dari parti mana sekalipun,” katanya. –UTUSAN
The post RCI TH: AMK gesa siasatan fokus 3 isu paling kritikal appeared first on Utusan Malaysia.






