Agong titah siasatan RCI Tabung Haji dibuat menyeluruh, tanpa kompromi – PM

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 3:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Agong titah siasatan RCI Tabung Haji dibuat menyeluruh, tanpa kompromi – PM

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan titah supaya siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji dilaksanakan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dizahirkan Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap di Istana Bukit Tunku hari ini. 

Menurut Anwar, titah Seri Paduka Baginda itu selari dengan iltizam Kerajaan Madani untuk memastikan setiap syor dan dapatan RCI disiasat secara tuntas.

“Tabung Haji menguruskan amanah yang lahir daripada hasil keringat jutaan rakyat, termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.

“Amanah sebesar ini tidak seharusnya dikhianati. Justeru, sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang,” katanya di laman Facebook hari ini. 

Anwar berkata, pada sesi itu juga, Sultan Ibrahim  turut menyentuh beberapa perkembangan penting membabitkan kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat termasuk isu berkaitan Felda. 

Jelaa beliau, pihaknya telah menyembah maklum mengenai kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang kini sedang diperhalusi kerajaan.

“Segala penemuan akan diteliti secara menyeluruh sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut lunas undang-undang.

“Kerajaan Madani terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara menerusi penguatkuasaan berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara agensi.

Langkah itu bagi membendung jenayah rentas sempadan, sekali gus memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

“Insya-Allah, saya dan seluruh jentera kerajaan akan sentiasa menjunjung titah Baginda Tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Agong titah siasatan RCI Tabung Haji dibuat menyeluruh, tanpa kompromi – PM appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved