RCI TH: LHDN perlu siasat kemungkinan pengelakan cukai Kumpulan TH bagi tempoh 2014-2020

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2026 • 2:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RCI TH: LHDN perlu siasat kemungkinan pengelakan cukai Kumpulan TH bagi tempoh 2014-2020
Mazlan

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu meneliti kemungkinan berlaku pengelakan cukai membabitkan Kumpulan Tabung Haji (TH) dan anak-anak syarikatnya, susulan siasatan yang semakin dipergiat berikutan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Penasihat Kumpulan Fokus Penguatkuasaan di Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Profesor Datuk Dr Mazlan Ahmad berkata, siasatan menyeluruh itu juga perlu disokong dengan perakaunan forensik bagi mengesan aliran dana termasuk sumber, destinasi dan pihak yang menerima manfaat.

"Saya percaya sama ada kumpulan atau anak syarikat sektor komersial, ada melakukan pengelakan cukai. Oleh itu, LHDN mesti meneliti perkara ini,” katanya dalam temu bual dalam program The Nation yang disiarkan oleh Bernama TV.

Mazlan turut menggesa pemeriksaan menyeluruh terhadap kemungkinan berlaku pengubahan wang haram dan menambah pengesanan transaksi mencurigakan dapat membantu pihak berkuasa penguatkuasaan mengenal pasti pihak yang terlibat dan menentukan jika kesalahan jenayah telah dilakukan.

Beliau menegaskan siasatan tidak seharusnya terhad kepada individu pada peringkat pengurusan atau lembaga pengarah, sebaliknya perlu meneliti keseluruhan ekosistem dan transaksi institusi tersebut.

"Isu yang sangat penting sekarang ialah memastikan kita mempunyai perakaunan forensik terbaik untuk benar-benar menjejaki aliran wang... dari mana ia datang, ke mana ia pergi dan siapa yang mendapat manfaat daripada semua skim ini.

"Kesimpulannya, saya boleh katakan ia kelihatan seperti risiko sistemik. Ia bukan kerja individu,” katanya.

Mazlan berkata, penemuan laporan RCI itu harus dijadikan permulaan untuk siasatan lebih mendalam dan bukan pengakhiran proses tersebut selain menekankan agensi penguatkuasaan kini mesti menentukan sekiranya isu yang timbul menunjukkan perbuatan jenayah tertentu serta mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, antara masalah utama yang dibangkitkan RCI ialah kelemahan tadbir urus, terutamanya pada peringkat lembaga pengarah.

Sebagai akauntan bertauliah dan ahli majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA), beliau berkata, lembaga pengarah mempunyai kewajipan fidusiari untuk menyediakan pengawasan, mekanisme semak dan imbang serta hala tuju yang sewajarnya bagi organisasi berkenaan.

"Lembaga pengarah bertanggungjawab atas apa sahaja dilakukan oleh pihak pengurusan. Mereka mesti melaksanakan kewajipan fidusiari mereka serta menyediakan mekanisme semak dan imbang,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik

Hibah tinggi 2014 hingga 2017 lampaui kemampuan kewangan LTH

RCI Tabung Haji: Amalan bonus terlalu tinggi perlu dihentikan

RCI Tabung Haji: Panel Pelaburan TH perlu diperuntukkan semula dalam Akta 535

RCI Tabung Haji: Krisis berpunca daripada kelemahan tadbir urus, bukan salah guna kuasa

RCI Tabung Haji: Ahli politik aktif tidak wajar terajui TH

Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai mendedahkan pelbagai penemuan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi tersebut bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos untuk membahaskan laporan itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved