Agrobank, MPOB percepat proses permohonan pekebun kecil sawit

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 2:24 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Agrobank, MPOB percepat proses permohonan pekebun kecil sawit

PETALING JAYA: Agrobank dengan kerjasama strategik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan sistem TSPKS 2.0, sebuah platform digital bagi menyokong pelaksanaan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) melalui proses permohonan dan pemantauan yang lebih cekap dan selaras.

Setakat ini, Agrobank telah menerima sebanyak 4,380 permohonan TSPKS 2.0 dengan nilai pembiayaan berjumlah RM190.99 juta, merangkumi kawasan seluas 12,197.11 hektar.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pengenalan Sistem TSPKS 2.0 merupakan langkah penting dalam meningkatkan kecekapan penyampaian skim kepada pekebun kecil sawit.

“Melalui perkongsian maklumat yang lebih tersusun antara Agrobank dan MPOB, tindakan terhadap setiap permohonan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Agrobank akan terus memanfaatkan teknologi dan kerjasama strategik bagi memudahkan akses komuniti pertanian kepada sokongan kewangan yang diperlukan.

“Usaha ini bukan sahaja membantu pekebun kecil melaksanakan penanaman semula secara lebih terancang, malah menyokong peningkatan produktiviti dan kemampanan sektor sawit negara,” katanya dalam kenyataan.

Sistem TSPKS 2.0 melalui kerjasama MPOB dan Agrobank itu membolehkan kedua-dua pihak memantau status permohonan melalui platform yang sama.

Maklumat dan dokumen sokongan yang diperoleh pegawai MPOB semasa lawatan tapak, termasuk gambar kebun, boleh dimuat naik untuk rujukan pemprosesan pembiayaan, manakala status permohonan akan dikemas kini oleh Agrobank bagi tindakan susulan MPOB.

Beliau berkata, TSPKS 2.0 merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu pekebun kecil sawit persendirian melaksanakan penanaman semula pokok sawit tua atau kurang produktif melalui akses pembiayaan yang lebih mampu milik.

“Skim ini meneruskan pelaksanaan TSPKS 1.0 dan dilaksanakan melalui kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), МРОВ serta Agrobank, dengan dana merangkumi 50 peratus geran dan 50 peratus pembiayaan kepada pekebun kecil yang layak.

“Melalui kerjasama ini, Agrobank dan MPOB komited untuk meneruskan kejayaan pelaksanaan TSPKS terdahulu menerusi TSPKS 2.0 yang diperkasakan dengan proses yang lebih cekap dan terselaras.

“Inisiatif ini diharap dapat membantu lebih ramai pekebun kecil melaksanakan penanaman semula secara terancang, sekali gus menyokong peningkatan produktiviti kebun, daya tahan usaha tani dan pendapatan mereka dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

The post Agrobank, MPOB percepat proses permohonan pekebun kecil sawit appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved