
PETALING JAYA – Agrobank memperluas usaha pembangunan bakat dalam sektor agromakanan menerusi Projek Tanaman Lestari Sekoi yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pertanian lestari, inovasi dan keusahawanan.
Dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), ia melibatkan enam institusi TVET pertanian terpilih dan akan dilaksanakan secara berperingkat dari Oktober 2026 hingga September 2027.
Projek ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 775 pelajar dengan kawasan tanaman keseluruhan seluas enam ekar, merangkumi enam institusi kolej pertanian vokasional seluruh negara.
Sebagai tanaman yang tahan lasak, sekoi sangat cekap menggunakan sumber dan mampu mandiri dalam keadaan gersang, biarpun kurang bertoleransi terhadap banjir jangka panjang.
Potensinya yang meluas sebagai alternatif makanan, makanan haiwan, dan komoditi komersial menjadikannya tanaman strategik masa hadapan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pembangunan sektor agromakanan memerlukan bukan sahaja akses kepada pembiayaan, tetapi juga generasi baharu yang mempunyai kemahiran, pengetahuan dan minda keusahawanan.
“Melalui projek ini, kami mahu membuka perspektif generasi muda bahawa pertanian hari ini bukan lagi sekadar aktiviti pengeluaran. Ia mempunyai ruang yang luas untuk inovasi, teknologi dan keusahawanan.
“Pendedahan seperti ini penting untuk membina generasi pelapis yang mampu membawa idea baharu dan mencipta nilai dalam sektor agromakanan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE
The post Agrobank perkasa bakat TVET melalui projek tanaman sekoi appeared first on Kosmo Online.






