liza03/11/2026 - 16:10 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Nov – Agrobank menyalurkan manfaat Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) berjumlah RM7.54 juta kepada 1,541 pesawah di Kedah bagi membantu meringankan beban kewangan mereka susulan kerugian tanaman sepanjang 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.42 juta disalurkan kepada 541 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) manakala RM5.12 juta lagi diberikan kepada 1,000 pesawah di luar kawasan MADA di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kedah.
Agrobank dalam satu kenyataan memaklumkan penyaluran manfaat kepada pesawah di kawasan MADA sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Manfaat takaful berkenaan menyediakan sokongan kewangan kepada pesawah yang terjejas bagi membantu mereka menguruskan kesan kerugian tanaman serta membuat persediaan untuk menghadapi musim penanaman berikutnya,” menurut kenyataan itu.
Perlindungan sehingga RM3,000 sehektar
Skim Takaful Tanaman Padi yang diperkenalkan pada September 2024 menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam.
Selain itu, skim berkenaan turut menawarkan perlindungan sehingga RM1,500 sehektar semusim bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman, tertakluk kepada terma serta syarat yang ditetapkan.
Pelaksanaan STTP di kawasan MADA turut menyumbang kepada pembukaan lebih 22,000 akaun Agrobank yang memperluas akses pesawah kepada perkhidmatan kewangan formal serta memudahkan penyaluran manfaat secara terus.

Manfaat takaful seluruh negara cecah RM56.92 juta
Sementara itu, sepanjang 2026, Agrobank telah menyalurkan manfaat STTP berjumlah RM14.80 juta kepada pesawah di seluruh negara. Sejak skim itu dilaksanakan, jumlah keseluruhan manfaat yang disalurkan mencecah RM56.92 juta, selain lebih 100,000 akaun Agrobank dibuka.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata perlindungan kewangan yang bersesuaian penting bagi membantu pesawah menghadapi risiko yang boleh menjejaskan sumber pendapatan mereka.
"Bagi seorang pesawah, kerugian tanaman bukan sekadar kehilangan hasil pada satu musim. Ia turut menjejaskan pendapatan keluarga dan kemampuan mereka untuk kembali mengusahakan sawah.
"Justeru, manfaat takaful ini diharap dapat meringankan beban dan memberi sedikit kelegaan ketika mereka amat memerlukan sokongan," katanya.
Beliau berkata, kemudahan pembiayaan dan perlindungan takaful perlu bergerak seiring bagi membina sektor pertanian yang lebih berdaya tahan.
Menurutnya, sebagai institusi kewangan pembangunan, tanggungjawab Agrobank bukan sekadar menyediakan pembiayaan, malah membantu pesawah menguruskan risiko yang boleh menjejaskan kelangsungan usaha mereka.
"Dengan perlindungan kewangan yang lebih baik, pesawah mempunyai sokongan tambahan untuk menghadapi ketidaktentuan pada musim penanaman berikutnya," katanya.
Agrobank akan meneruskan kerjasama dengan MADA, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan agensi berkaitan bagi memperluas akses kepada perlindungan tanaman serta perkhidmatan kewangan formal.
Usaha itu bertujuan menyokong daya tahan pesawah dan kesinambungan pengeluaran padi, sekali gus membantu memastikan keterjaminan makanan negara. - DagangNews.com






