
ALOR SETAR: Penglibatan warga asing dalam sektor pertanian khususnya penanaman padi di negara ini menimbulkan kebimbangan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pesawah bumiputera perlu terus mempertahankan tanaman itu yang selama ini menjadi sumber pengeluaran makanan utama negara.
“Saya bimbang, banyak kerja-kerja di sawah sekarang ini tinggal bendang sahaja. Kalau bendang pun terlepas, habislah. Semua sudah diambil alih orang luar.
“Kalau kita buat bendang rugi, orang lain pula datang ambil untung. Bagaimana kita hendak pertahankan sektor ini kalau akhirnya diserahkan kepada orang asing,” katanya pada Program Turun Padang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Bersama Pesawah, di sini hari ini.
Mohamad berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap keluhan pesawah yang berdepan pelbagai masalah dalam mengusahakan tanaman padi, terutama apabila kos pengeluaran tidak seimbang dengan hasil yang diperoleh.
“Bendang ini hasilkan makanan ruji negara, kita kena pertahankan, orang bumiputera perlu buat, ertinya orang Malaysia lah. Jangan terlepas kepada orang asing dengan segala rungutan itu, kita dengar dari semasa ke semasa.
“Isu ini kebanyakannya berlaku di Kedah. Kalau di Selangor agak kurang sikit sebab hasil mereka agak tinggi. Di Sekinchan, mereka dapat tujuh hingga 12 tan metrik.
“Orang yang tidak buat bendang, duduk main TikTok sahaja dari jauh, saya kurang dengar. Tetapi kalau orang yang buat bendang, saya dengar. Apa benda yang tidak kena, kita kena buat kita cuba selesaikan. Kalau ada masalah, kita berdialog dan bincang secara terbuka dengan mereka yang usahakannya,” katanya.
Dalam perkembangan lain katanya, tuntutan pesawah supaya harga belian padi dinaikkan kepada RM1,800 masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.
“Apa yang penting adalah bagaimana struktur harga padi akan dilaksanakan. Kita tidak boleh bertindak secara solo sebaliknya perlu dengar pandangan Kementerian Kewangan; Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta kementerian lain.
“Macam mana kalau nak naikkan harga lantai lagi, bagaimana harga beras dapat dikawal. Semuanya itu di peringkat perbincangan,” katanya.
Mohamad berkata, kadar harga lantai itu sebelum ini melalui beberapa peningkatan iaitu daripada RM1,200 kepada RM1,300 dan seterusnya pada kadar semasa iaitu RM1,500. – UTUSAN
The post Mat Sabu bimbang warga asing ambil alih sektor pertanian appeared first on Utusan Malaysia.





