Kerajaan berjaya salur semula pinjaman SSER RM5 bilion

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 4:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerajaan berjaya salur semula pinjaman SSER RM5 bilion

PUTRAJAYA: Kerajaan berjaya mendapatkan semula manfaat pinjaman RM5 bilion daripada projek saluran paip gas yang ditamatkan pada 2018 untuk disalurkan kepada pembangunan Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS) yang bakal memberi manfaat kepada penduduk di Perak dan Pulau Pinang.

Perjanjian penyaluran semula pinjaman itu dimeterai antara Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), iaitu sebuah syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan dengan Export-Import Bank of China (CEXIM).

Pemeteraian itu turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhaim.

Kementerian Kewangan berkata, susulan penamatan projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi-Product Pipeline (MPP) pada tahun 2018, Kerajaan Malaysia masih menanggung obligasi pembayaran balik pinjaman berkaitan berjumlah RM8 bilion kepada CEXIM walaupun projek tersebut tidak dilaksanakan.

“Perkara itu masih belum dapat diselesaikan walaupun pelbagai usaha telah diambil oleh tiga pentadbiran sebelum ini.

“Pemeteraian perjanjian ini merupakan satu pencapaian penting bagi Kerajaan Madani di
bawah kepimpinan Anwar dalam memuktamadkan rundingan dan mendapatkan kembali sebahagian pinjaman tersebut melalui penyaluran semula RM5 bilion bagi melaksanakan NPWSS,” katanya hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, ia sekali gus mengurangkan kerugian yang timbul daripada projek TSGP dan MPP serta memastikan RM5 bilion tersebut dapat digunakan untuk membangunkan infrastruktur asas yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Perak dan Pulau Pinang.

“NPWSS merupakan projek infrastruktur bekalan air bersepadu melibatkan penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah selain kerja-kerja naik taraf di sepanjang Sungai Kurau dan Terusan Besar serta pembinaan loji rawatan air di Kamunting dan Bogak.

“Projek ini menyasarkan kapasiti bekalan air sebanyak 700 juta liter sehari bagi utara Perak
termasuk kawasan perindustrian Kerian, 300 juta liter sehari bagi Pulau Pinang dan 500
juta liter sehari air mentah untuk pengairan pertanian.

“Ia dengan kerja pembinaan yang terlibat akan dilaksanakan oleh syarikat kontraktor tempatan,” katanya.

Kata Kementerian Kewangan, keterjaminan bekalan air merupakan antara keutamaan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh pembangunan ekonomi khususnya di wilayah utara Perak.

“Pelaksanaan NPWSS dijangka memperkukuh keterjaminan air jangka panjang, memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kegunaan domestik, pertanian dan perindustrian serta menyokong pembangunan sosioekonomi,” ujarnya. – UTUSAN

The post Kerajaan berjaya salur semula pinjaman SSER RM5 bilion appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved