Agrobank tawar pembiayaan eksklusif kepada usahawan PKNS

Business & FinanceStartup
2 Aug 2023 • 6:12 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Agrobank tawar pembiayaan eksklusif kepada usahawan PKNS

diyana

02/08/2023 - 18:12

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Agrobank telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menawarkan pembiayaan eksklusif kepada usahawan di bawah BizClub PKNS.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS sentiasa menyediakan pelbagai program keusahawanan sebagai platform untuk membantu golongan usahawan di bawahnya bagi membuka jaringan perniagaan dalam kalangan mereka serta agensi pembiaya dan agensi keusahawanan.

“MoU hari ini merupakan satu lagi usaha PKNS dalam membantu golongan usahawan diselia oleh BPU untuk mendapat peluang modal tambahan daripada pembiayaan yang ditawarkan oleh Agrobank dalam usaha meningkatkan produktiviti serta pengeluaran produk mereka, sekali gus melipatgandakan keuntungan syarikat.

image is not available

“BPU juga sentiasa mencari peluang meneroka pasaran luar dan membawa bersama usahawan-usahawan terpilih dan produk mereka ke peringkat antarabangsa antaranya ke Indonesia dan Hong Kong,” ujar beliau ketika sidang media upacara memeterai perjanjian tersebut.

Menerusi kerjasama ini, Agrobank menawarkan pelbagai program pembiayaan antaranya Pemulih Micro Credit, Pemulih Newbiz, Micro Relief Program serta beberapa lagi, yang permohonannya terbuka kepada usahawan ataupun bakal usahawan mikro yang berdaftar sebagai usahawan PKNS.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah berkata pihaknya yakin dengan kepelbagaian produk pembiayaan di Agrobank yang dapat memberi solusi kewangan kepada golongan sasar untuk menceburkan diri khususnya dalam sektor pertanian dan keseluruhan rantaian bekalan makanan.

image is not available

“Agrobank amat menitikberatkan keupayaan usahawan mengembangkan perniagaan mereka seterusnya memantapkan ekonomi di negeri Selangor.

“Harapan saya dengan adanya kerjasama bersama Agrobank ini, usahawan dibawah BPU berpeluang untuk meningkatkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi dengan mendapatkan modal tambahan daripada pembiayaan yang ditawarkan kami,” ujar beliau.

Pembiayaan yang diberikan kepada usahawan adalah menerusi aktiviti perniagaan yang dijalankan berdasarkan polisi serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak bank dari semasa ke semasa bagi setiap produk.

MoU tersebut dimeterai oleh Mahmud dan Tengku Ahmad Badli Shah di ibu pejabat PKNS, Shah Alam hari ini, yang turut disaksikan oleh hampir 150 usahawan. - DagangNews.com