Mudajaya peroleh kontrak ECRL bernilai RM195.1 juta
diyana
02/08/2023 - 17:47
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Mudajaya Group Berhad telah menerima kontrak RM195.1 juta untuk projek pembinaan stesen untuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Mudajaya berkata anak syarikatnya, Mudajaya Corporation Berhad telah menerima surat anugerah (LOA) pada 1 Ogos 2023 daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd.
Di bawah kontrak tersebut, Mudajaya akan melaksanakan Pakej 3 ECRL melibatkan pembinaan dan penyiapan stesen, bangunan sampingan dan kerja-kerja lain yang berkaitan.
Mudajaya berkata projek berkenaan disasarkan siap menjelang 2026 dengan tempoh pembinaan selama 32 bulan dari tarikh pemilikan tapak.
“Projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan seterusnya.
“Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam projek,” katanya.
Saham Mudajaya ditutup tidak berubah pada 18.5 sen hari ini dengan permodalan pasarannya bernilai RM347 juta. - DagangNews.com


