
KENINGAU: Pembangunan pelancongan berasaskan komuniti serta pertanian di kawasan luar bandar Sabah membuktikan bahawa khazanah alam semula jadi dan tradisi tempatan mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi mampan bagi penduduk kampung.
Pengerusi Taman Pelancongan dan Tagal Komuniti Kampung Rantai Joseph @ Christopher Kunjan (gambar) berkata pelaksanaan projek agropelancongan di peringkat akar umbi membolehkan masyarakat setempat menikmati manfaat berpanjangan.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan konsep Malaysia Madani yang berpegang kepada prinsip menggapai bintang tanpa melupakan akar umbi iaitu menyasarkan kemajuan ekonomi tanpa mengabaikan warisan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Keningau dan kawasan pedalaman Sabah secara keseluruhannya bertuah kerana dikurniakan keindahan alam semula jadi yang tiada tandingan termasuklah sungai yang masih terpelihara, hutan hujan yang terpelihara serta warisan budaya yang kaya.
“Konsep agropelancongan menggabungkan nilai ekonomi pertanian dengan pelancongan sekali gus membolehkan hasil usaha petani, penternak dan masyarakat kampung dipasarkan secara langsung kepada pengunjung bagi meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya ketika ditemu bual menerusi KeningauFM.
Christopher berkata pakej pelancongan di Kampung Rantai menawarkan pengalaman menyeluruh yang merangkumi pakaian dan tarian tradisional pelbagai etnik seperti Dusun Liwan dan Murut, hidangan tempatan berasaskan hasil hutan serta ikan sungai segar, selain kemeriahan Pesta Kaamatan.
Selain itu katanya pengurusan sungai secara tradisional menerusi Sistem Tagal bukan sahaja membantu memelihara kebersihan sungai dan populasi ikan, malah aktiviti memberi makan ikan air tawar turut menjadi tarikan utama pelancong.
“Impak positif itu turut membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan belia luar bandar sebagai pemandu pelancong tempatan dan pengendali media sosial manakala golongan wanita memperoleh pendapatan tambahan melalui penghasilan kraf tangan, penyediaan inap desa dan produk makanan tradisional,” ujarnya.
Beliau turut menyambut baik peruntukan RM930 juta oleh kerajaan bagi merancakkan sektor pelancongan negara, selain pelanjutan Kempen Melawat Malaysia hingga 2027.
Sehubungan itu beliau berharap peruntukan berkenaan dapat diagihkan secara saksama kepada pengusaha pelancongan berasaskan komuniti di kawasan luar bandar.
“Sokongan kewangan dan infrastruktur amat penting supaya kawasan seperti Apin-Apin, Keningau dapat membuktikan bahawa kekayaan alam semula jadi dan budaya tempatan merupakan aset tidak ternilai dalam menjamin masa depan ekonomi masyarakat luar bandar,” jelasnya.






