11 pakej termasuk elaun luar bandar RM1,000 dicadang tarik doktor, petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak

LocalHealth & Fitness
7 Oct 2026 • 11:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

11 pakej termasuk elaun luar bandar RM1,000 dicadang tarik doktor, petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak Image from: 11 pakej termasuk elaun luar bandar RM1,000 dicadang tarik doktor, petugas kesihatan ke Sabah dan Sarawak hamden07/10/2026 - 11:41 Gambar Hiasan Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Seorang senator mencadangkan 11 pakej segera termasuk bayaran insentif wilayah (BIW) berasaskan gaji dan elaun kesusahan luar bandar yang lebih tinggi bagi menjadikan penempatan di Sabah dan Sarawak lebih menarik kepada profesional kesihatan.

 

Senator Dr RA Lingeshwaran berkata, penginapan yang sempurna dan laluan kerjaya yang jelas serta latihan kepakaran juga perlu diutamakan bagi memperkukuh tenaga kerja kesihatan di kedua-dua negeri itu.

 

Beliau berkata, langkah itu penting supaya petugas kesihatan melihat perkhidmatan di Sabah dan Sarawak sebagai peluang yang turut menyumbang kepada perkembangan kerjaya mereka.

 

“Mereka yang melengkapkan tempoh perkhidmatan latihan yang ditetapkan di Sabah dan Sarawak dengan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan serta menunjukkan prestasi memuaskan perlu diberi keutamaan untuk memohon laluan seperti program Sarjana dan latihan kepakaran Kementerian Kesihatan.

 

“Setiap doktor perlu dimaklumkan dengan jelas bahawa tempoh penempatan standard ialah 24 bulan, dan selepas melengkapkannya dengan memuaskan, mereka boleh memohon pertukaran, mengikuti latihan kepakaran atau memilih penempatan seterusnya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

 

Menurutnya, BIW bagi pegawai yang baru dilantik dan ditempatkan di Sabah serta Sarawak juga perlu dikaji semula dan dikembalikan kepada sistem berdasarkan peratusan gaji, bukannya kadar tetap.

 

Katanya, pendekatan itu lebih mencerminkan kos sara hidup, jarak geografi serta cabaran bekerja di kedua-dua negeri berkenaan.

 

“Elaun kesusahan sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan bagi doktor dan petugas kesihatan yang berkhidmat di lokasi yang ditetapkan sebagai kawasan kesusahan juga perlu diperkenalkan.

 

“Bagi lokasi yang sangat terpencil, kadarnya perlu ditingkatkan mengikut tahap kesusahan dan tahap kebolehcapaian,” katanya.

 

Dr Lingeshwaran turut menegaskan penyediaan penginapan yang sempurna dengan kemudahan asas seperti air, elektrik, Internet, keselamatan dan penyelenggaraan perlu diberi perhatian.

 

Sekiranya kuarters kerajaan tidak tersedia, katanya, elaun perumahan perlu mencerminkan kadar sewa sebenar di kawasan berkenaan.

 

Bayaran pendahuluan perpindahan

Beliau turut mencadangkan kementerian menyediakan bayaran pendahuluan bagi kos perpindahan yang diluluskan, termasuk tiket penerbangan, lebihan bagasi, pengangkutan dan perbelanjaan berkaitan lain.

 

“Doktor tidak sepatutnya perlu mengeluarkan wang ribuan ringgit terlebih dahulu sebelum memulakan penempatan,” katanya.

 

Pada masa sama, beliau berkata tambang penerbangan pergi balik ke Semenanjung Malaysia perlu disediakan, terutama bagi pegawai yang tinggal berjauhan daripada pasangan dan anak-anak akibat penempatan tersebut.

 

Selain insentif kewangan, beliau mencadangkan insentif kerjaya bagi perkhidmatan di kawasan luar bandar dan terpencil, insentif pengekalan selepas 24 bulan, serta beban kerja yang munasabah dan sokongan keluarga untuk pegawai.

 

Katanya, insentif kewangan sahaja tidak mencukupi untuk menangani cabaran tenaga kerja kesihatan di Sabah dan Sarawak.

 

Langkah berkenaan juga perlu diperluaskan bukan sahaja kepada doktor, malah jururawat, ahli farmasi, pegawai pergigian, profesional kesihatan bersekutu serta petugas kesihatan kritikal lain.

 

“Kekurangan doktor tidak boleh ditangani secara berasingan. Keseluruhan pasukan penjagaan kesihatan perlu mempunyai bilangan anggota yang mencukupi.

 

“Kerajaan tidak perlu menunggu pembaharuan jangka panjang. Dalam tempoh tiga bulan, kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam boleh memperkenalkan pakej interim yang merangkumi perkara di atas bagi menjadikan perkhidmatan di Sabah dan Sarawak lebih adil, menarik dan mampan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved