‘Kuda lumba’ ketuai perarakan sambutan Maulidur Rasul di Kg. Pulau

25 Aug 2026 • 1:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Kuda lumba’ ketuai perarakan sambutan Maulidur Rasul di Kg. Pulau

KOTA BHARU: Seekor bekas kuda lumba bersama lebih 30 ekor kuda pelbagai baka yang diiringi lebih 400 penduduk membawa Jalur Gemilang merupakan keunikan dalam sambutan Maulidur Rasul di Kampung Pulau, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Pemiliknya, Nordin Mat, 61, berkata, kuda berkenaan yang diberi nama Agung itu diperolehnya secara percuma daripada pemilik asal ketika kuda itu berusia setahun sebelum dipeliharanya sehingga kini.

Katanya, nama Agung diberikan berdasarkan karakter kuda berkenaan yang agak agresif dan garang berbanding tujuh ekor kuda lain yang dipeliharanya.

“Agung pernah berlumba sehingga usia empat tahun dan merupakan kuda paling agresif dalam peliharaan saya. Agak lama masa diambil untuk menjinakkannya, iaitu sehingga ia berusia enam tahun dan memasuki usia matang.

“Sepanjang tempoh itu, saya perlu meluangkan masa bersama Agung setiap hari untuk memahami jiwa dan naluri yang menjadi elemen utama menghubungkan kuda dan pemiliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Masjid Al-Taqwa Mukim Pulau, Kubang Kerian, di sini hari ini.

Nordin memberitahu, dia berbangga apabila Agung dipilih mengetuai perarakan berkuda yang julung kali diadakan di Kampung Pulau, sekali gus memberi peluang kepada pemilik kuda untuk bersama-sama menyumbang dalam menjayakan sambutan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sri Pulau, Md. Zohari Abdullah berkata, perarakan berkuda menjadi kelainan dalam sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Katanya, idea berkenaan dicetuskan salah seorang penternak kuda di kampung tersebut dan dibawa ke mesyuarat untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan tahun ini.

“Tujuan perarakan diadakan adalah untuk meraikan hari kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW dan dalam masa yang sama kita meraikan ketibaan sambutan hari kemerdekaan negara ke-69 pada penghujung bulan ini.

“Elemen perarakan berkuda amat sesuai kerana ia merupakan haiwan tunggangan Rasulullah serta berperanan penting dalam kehidupan masyarakat global dahulu kala, termasuk dalam peperangan, perdagangan, logistik dan sosial,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Kuda lumba’ ketuai perarakan sambutan Maulidur Rasul di Kg. Pulau appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved