Agus mahu ikut jejak bapa jadi kontraktor binaan

26 Oct 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Agus mahu ikut jejak bapa jadi kontraktor binaan

SEAWAL usia 14 tahun, Muhammad Faridz Agustian Akbar Lukman sudah didedahkan dengan ilmu membuat binaan seperti mengikat batu, membancuh simen dan membengkokkan besi.

Menurut jejaka berusia 23 tahun itu, sejak kecil dia sudah dibawa oleh bapanya yang merupakan subkontraktor untuk melihat sendiri kerja-kerja pembangunan binaan di lapangan.

“Sejak itu, minat dalam bidang pembinaan telah tumbuh dan saya tekad mahu mengikuti jejak langkah bapa dalam bidang ini lebih-lebih lagi saya merupakan anak sulung.

“Sehubungan itu, bagi memastikan legasi ini diteruskan, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menyambung pengajian Diploma Ukur Bahan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak,” katanya.

Selepas habis belajar diploma, pemuda yang mesra disapa Agus itu mahu keluar dari zon selesa dengan mengambil keputusan bekerja di beberapa perusahaan lain bagi mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman.

“Saya masih lagi belajar dan mahu mengutip sebanyak mungkin pengalaman, sebelum kembali membantu menguruskan syarikat bapa.

“Kini sudah 10 bulan saya menggalas tanggungjawab sebagai jurutera tapak (site engineer), sekali gus mengetuai projek tersebut dengan dibantu oleh kira-kira 20 pekerja.

“Kebanyakan projek kami adalah membina, membuat penyelenggaraan bangunan, membaik pulih longkang dan pelbagai lagi,” ujar Agus yang menjadikan bapanya sebagai role model dalam bidang itu.

Image from: Agus mahu ikut jejak bapa jadi kontraktor binaan
AGUS (kanan) bergambar bersama keluarganya.

Tambahnya, sebagai jurutera tapak merangkap ketua projek, dia perlu mempunyai ilmu dan kefahaman tentang lakaran plan, termasuk mengikuti keperluan yang ditetapkan dalam plan, cara bekerja mengikut spesifikasi serta polisi ditetapkan.

Mengulas mengenai keseronokan dalam bidang itu, Agus berkata, dia berasa sangat puas apabila melihat tanah yang awalnya kosong berjaya didirikan sebuah binaan hasil titik peluh dia bersama pekerja-pekerjanya.

“Melihat bangunan yang berjaya disiapkan itu, terasa hilang penat lelah dan ‘terbayar’ segala kesusahan dihadapi sepanjang proses menyelesaikan projek.

“Selain itu, saya seronok dapat belajar budaya dan makanan orang luar kerana kebanyakan pekerja saya merupakan buruh asing dari Indonesia, Bangladesh dan Pakistan,” ujarnya yang memasang impian untuk menjadi kontraktor berjaya pada masa hadapan.

Image from: Agus mahu ikut jejak bapa jadi kontraktor binaan
AGUS merupakan bekas pelajar Diploma Ukur Bahan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak.

Sementara itu, Agus berpesan kepada anak muda yang berminat dalam bidang kemahiran supaya meneruskan cita-cita itu, dan jangan takut untuk mencuba kerana ia luas serta sangat diperlukan oleh industri.

“Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sangat luas, kita ada teknologi elektrik, kimpalan, automotif, hospitaliti dan pelbagai lagi.

“Saya tengok generasi muda sekarang sangat sukakan bidang kemahiran, jadi kalau ada minat teruskan sampai berjaya dan jangan mudah mengalah dengan kata-kata negatif orang di sekeliling.

“Kita bukan hanya perlu pandai atas kertas (akademik), tapi kalau ada kebolehan dalam bidang kemahiran, ia adalah bonus untuk diri sendiri.

“Paling penting, kita kena sentiasa berusaha untuk capai cita-cita tersebut,” katanya.

The post Agus mahu ikut jejak bapa jadi kontraktor binaan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved