Semua AJK Bersatu Beluran letak jawatan, keluar parti serta-merta

LocalPolitics
12 Mar 2026 • 9:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
AJK Bersatu Beluran mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti serta-merta.

KOTA KINABALU - Semua Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Beluran mengumumkan untuk meletakkan jawatan masing-masing dan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu diambil selepas kesemua mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Bersatu Bahagian Beluran, Hamdan Tarawie berkata, keputusan itu dibuat selepas mereka menilai perkembangan dalam parti yang dilihat semakin menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

Menurutnya, Bersatu pada awalnya diasaskan atas semangat memperjuangkan kepentingan rakyat, menegakkan integriti dalam politik dan membela nasib Bumiputera khususnya di Sabah.

"Namun kebelakangan ini, parti dilihat semakin jauh daripada matlamat tersebut.

"Sebaliknya, parti kini dilihat lebih tertumpu kepada agenda untuk mengangkat Presiden sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri sehingga banyak keputusan dalam parti dilihat berpaksikan kepentingan itu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hamdan turut mendakwa, budaya perbezaan pandangan dalam parti tidak lagi diraikan, malah dianggap sebagai ancaman kepada kepimpinan.

Beliau berkata, pihaknya juga memandang serius beberapa tindakan disiplin terhadap pemimpin parti termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee serta Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Tindakan ini memperlihatkan bahawa lembaga disiplin parti telah diperalatkan sebagai alat politik untuk menyingkirkan mereka yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi.

"Amalan ini bukan sahaja menjejaskan prinsip keadilan dalam parti, malah menghakis kepercayaan ahli terhadap ketelusan dan integriti proses disiplin yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik," katanya.

Hamdan turut mendakwa, dalam keghairahan mengejar agenda politik sempit, isu perjuangan rakyat Sabah khususnya Bumiputera semakin diketepikan.

"Perjuangan yang sepatutnya menjadi teras kepada kehadiran parti di Sabah kini tidak lagi diberikan keutamaan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, sebagai pemimpin akar umbi yang bertanggungjawab kepada ahli di peringkat bahagian serta masyarakat yang diwakili, mereka tidak boleh terus berdiam diri melihat parti menyimpang daripada perjuangan asal.

"Sehubungan itu, setelah mempertimbangkan keadaan ini dengan penuh tanggungjawab dan rasa berat hati, kami semua Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Beluran mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

"Keputusan ini bukan mudah, namun ia diambil demi mempertahankan prinsip perjuangan dan maruah politik yang kami pegang selama ini.

"Kami percaya perjuangan untuk rakyat, khususnya Bumiputera Sabah mesti diteruskan atas landasan yang lebih jujur, berprinsip dan bebas daripada kepentingan peribadi mana-mana individu," katanya.