Ahli Farmasi Gaza Temui D*dah Dalam Tepung Bantuan Makanan AS-Israel

Entertainment
28 Jun 2025 • 9:37 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pihak berkuasa di Gaza mendesak siasatan bebas dijalankan segera selepas mendakwa menemui pil opioid jenis oxycodone tersembunyi dalam bungkusan tepung yang diagihkan oleh pusat bantuan dikendalikan organisasi AS-Israel, Gaza Humanitarian Foundation (GHF).

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pejabat media kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya empat individu tempatan tampil memaklumkan penemuan pil tersebut dalam bantuan makanan, manakala beberapa saksi lain pula mendakwa bahan itu mungkin telah dihancurkan dan dicampur terus ke dalam kandungan tepung.

image is not available

Memetik laporan Astro Awani, Oxycodone merupakan sejenis ubat tahan sakit kuat yang lazimnya digunakan untuk pesakit kanser, namun mampu menimbulkan ketagihan dan berisiko tinggi menyebabkan kesan sampingan serius seperti halusinasi dan masalah pernafasan.

Seorang ahli farmasi tempatan, Omar Hamad, menyifatkan kejadian ini sebagai “bentuk paling keji bagi pembunuhan beramai-ramai,” manakala seorang doktor, Dr Khalil Mazen Abu Nada pula berkata dadah itu digunakan untuk “melumpuhkan kesedaran rakyat kami.”

Pihak berkuasa Gaza menuduh Israel mempergunakan sekatan dan laluan bantuan kemanusiaan sebagai medium untuk menyeludup bahan terlarang ke dalam wilayah itu, sambil menuduh GHF sebagai alat manipulasi yang menyamar sebagai bantuan.

image is not available

Mereka turut menggesa agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa campur tangan bagi menyiasat dakwaan ini dengan telus dan menyeluruh.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.