Ahli keluarga belum terima SOP tahanan rumah Najib

LocalPolitics
25 Sep 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ahli keluarga belum terima SOP tahanan rumah Najib

KUALA LUMPUR: Ahli keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum menerima sebarang makluman termasuk mengenai prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak berkuasa mengenai proses hukuman tahanan rumah yang akan dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Anak keempat Najib, Nooryana Najwa berkata, pihak keluarga malah peguam juga masih belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Penjara termasuk mengenai pengubahsuaian rumah bagi membolehkan tahanan rumah itu dilaksanakan.

“Selain daripada itu, sebarang prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak penjara kami belum terima.

“Senang cerita, kami pun tidak dapat apa-apa maklumat secara rasmi. Peguam kita juga belum dapat apa-apa maklumat secara rasmi. Jadi kita masih menunggu maklumat daripada pihak penjara.

“Kami betul-betul tidak tahu. Sebagai ahli keluarga, kami belum dapat apa-apa perkhabaran atau sebarang maklumat daripada pegawai penjara,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Najib dijangka menjalani baki hukuman penjara di kediaman­nya di Langgak Duta di sini, se­ca­ra ber­sendirian dengan ka­walan ke­tat Jabatan Penjara, termasuk la­watan keluarga yang dihadkan.

Peguam, Datuk Hasnal ­Rezua Merican berkata, pemilihan lo­ka­si itu ekoran tiada ahli ke­luar­ga yang menetap di situ, maka lo­kasi berkenaan boleh dijadikan penjara, selain mengikut kri­teria ditetapkan Ketua Penga­rah Penjara.

Sementara itu, Nooryana memberitahu, kediaman di Langgak Duta sudah lama kosong sejak bapanya itu dipenjarakan pada 23 Ogos 2022.

“Mak (Datin Seri Rosmah Mansor) duduk dengan saya. Jadi rumah itu memang sudah kosong semenjak (Najib) dipenjarakan,” katanya.

Najib ketika ini masih menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu, membolehkan beliau menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Antara syarat berkenaan ialah pembayaran denda RM50 juta yang perlu dijelaskan.

Namun, memasuki hari kelapan hari ini, masih tiada perkembangan baharu daripada Penjara Kajang.

Mengulas lanjut mengenai dana kutipan yang dilancarkan UMNO, Nooryana Najwa berkata, jumlah sumbangan yang terkumpul ketika ini dianggarkan sekitar lebih RM2 juta.

“Saya faham orang UMNO bukan tertumpu di bandar, jadi agak sukar untuk kita mencapai sasaran kutipan dana dalam masa yang singkat.

“Jadi, usaha UMNO pada ketika ini adalah membawa tabung pada setiap kali program-program di luar bandar bagi mencukupkan dana kutipan,” katanya.

Nooryana Najwa berkata, keluarganya bagaimanapun menyambut baik keputusan berkaitan tahanan rumah secara bersyarat selepas sekian lama menanti perkembangan berhubung nasib Najib.

“Sewaktu keputusan itu, emak bersama saya. Kami gembira sebab sekurang-kurangnya ada keputusan. Ada jalan keluar bagi ayahanda.

“Walaupun peluang itu agak rumit bagi keluarga, tetapi kita tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keluarga masih menunggu beberapa perkara dimuktamadkan sebelum boleh memberikan komen lanjut berhubung pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.

“Sebab masa sekarang kita pun masih menunggu. Tiada sebarang kata putus. Jadi saya tidak boleh komen lebih daripada itu.

“Saya tahu banyak di luar sana membuat spekulasi dan sebagainya. Kalau kita hendak buat keputusan, kita buat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat daripada pihak yang berkuasa,” katanya.

Nooryana Najwa turut berkata, keluarganya terharu dengan sokongan yang ditunjukkan UMNO serta orang ramai yang sanggup tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu usaha mendapatkan pembebasan Najib menerusi pelaksanaan tahanan rumah.

“Kami sangat terharu apabila UMNO mengumumkan akan melancarkan tabung solidariti bagi Datuk Seri Najib. Begitu juga dengan kesungguhan rakyat jelata yang sanggup memberi sumbangan.

“Kami lega kerana akhirnya ada jalan keluar. Ia memberi harapan kepada keluarga, walaupun kami faham pelaksanaannya masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

The post Ahli keluarga belum terima SOP tahanan rumah Najib appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved