
KUALA LUMPUR: Lebih 9,000 ahli Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) mendesak penyelesaian segera berhubung isu kelewatan pembayaran tebusan saham bernilai jutaan ringgit.
Seorang ahli, Syed Alwi Syed Shariff, mendakwa dia dan sebahagian ahli yang terjejas masih menunggu bayaran tebusan saham sejak 2023 dan 2024 dengan tempoh kelewatan dikatakan melebihi dua tahun.
Katanya, kelewatan berkenaan memberi kesan besar khususnya kepada golongan warga emas, pesara dan balu peneroka yang bergantung kepada wang simpanan sendiri untuk meneruskan kehidupan.
“Tidak dinafikan kami ada menerima dividen daripada simpanan yang dibuat, namun nilai yang kami terima tidak setimpal.
“Setiap kali saya mahu mengeluarkan simpanan penuh. ada sahaja alasan diberikan. Mereka kata mereka tiada aliran tunai yang mencukupi untuk membayar kepada kami,” katanya ketika ditemui di hadapan Balai Felda di sini hari ini.
Terdahulu, Syed Alwi yang tinggal di Seremban bersama lebih 30 ahli yang terjejas mengadakan demonstrasi aman dan mogok lapar bagi mendesak penyelesaian segera isu kelewatan pembayaran tebusan saham berkenaan.
Dalam demonstrasi itu, mereka mengemukakan empat tuntutan utama kepada kerajaan dan pihak berkaitan.
Antaranya ialah campur tangan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu menyelesaikan masalah kecairan KPF demi kebajikan peneroka.
Mereka turut menuntut penubuhan jawatankuasa siasatan bebas bagi menjalankan audit forensik terhadap pengurusan dana, pelaburan dan status aset KPF.
Selain itu, mereka mahu satu jadual pembayaran yang jelas serta mengikat diwujudkan dengan keutamaan diberikan kepada warga emas dan ahli yang berdepan keadaan kecemasan.
Mereka juga menuntut penjelasan rasmi mengenai kedudukan sebenar tunai dan kecairan KPF berbanding nilai aset yang dilaporkan.
Kumpulan berkenaan turut menyeru media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia memberikan perhatian terhadap nasib ahli KPF yang didakwa masih menunggu hak mereka.
Seorang lagi ahli yang terjejas, Hamidah Ismail berkata, beliau ibarat pengemis ketika menuntut wang simpanannya sendiri.
Katanya, sebelum ini pengeluaran wang berkenaan mudah dilakukan namun sejak 2020 banyak alasan diberikan setiap kali dia mahu mengeluarkan simpanannya.
“Pada 2023, saya ada mengeluarkan RM30,000. Kami perlu mengisi borang dan menyatakan alasan yang kukuh. Namun, pengeluaran itu mengambil masa dan pada peringkat awal, mereka hanya membayar RM5,000 sahaja.
“Selepas itu, saya ada membuat pengeluaran lagi, tetapi hanya RM5,000 sahaja dan selebihnya tidak boleh dikeluarkan.
“Saya telah berkhidmat bersama FELDA selama 32 tahun. Sepanjang tempoh itu saya potong gaji. Bila dah bersara, takkan saya tak boleh ambil hak saya,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam kepada Syed Alwi, Afiq Asyraf berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 16 Mei 2025 bagi menggesa siasatan terhadap dakwaan berkaitan pengurusan dana ahli.
Katanya, perkara itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan kini berada pada peringkat pendengaran Tribunal Koperasi.
“Kami sedang menggembleng usaha untuk mengambil tindakan perundangan secara representatif bagi memperjuangkan tuntutan ahli yang terjejas,” katanya. –UTUSAN
The post Ahli KPF tuntut bayaran saham appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Bayaran saham tertunggak: Ahli KPF tuntut campur tangan PM](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/09/04/3636098.webp)