Bayaran saham tertunggak: Ahli KPF tuntut campur tangan PM

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2026 • 12:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bayaran saham tertunggak: Ahli KPF tuntut campur tangan PM
Afiq (dua kanan) dan Syed Alwi (tiga kanan) bersama ahli KPF mengadakan demonstrasi aman di hadapan pejabat Felda di sini pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Ahli dan peneroka Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) menuntut empat perkara termasuk campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu bayaran jualan saham kepada ahli yang tertunggak sejak 2023.

Peguam, Afiq Asyraf berkata, majoriti ahli yang terjejas terdiri daripada warga emas, pesara dan balu peneroka yang tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.

"Mereka menuntut campur tangan segera Perdana Menteri bagi mengarahkan penyaluran atau bantuan kecairan domestik kepada KPF demi menyelamatkan kebajikan peneroka," katanya dalam sidang akhbar di hadapan pejabat Felda di sini pada Jumaat.

Afiq berkata, ahli dan peneroka KPF turut menuntut penubuhan jawatankuasa siasatan bebas bagi menjalankan audit forensik terhadap pengurusan dana, pelaburan luar negara dan status pencairan aset KPF.

"Selain itu, mereka mahu satu jadual pembayaran mandatori diwujudkan dengan mengutamakan warga emas serta kes kecemasan.

Mereka juga menuntut pihak pengurusan KPF memberikan penjelasan rasmi mengenai kedudukan sebenar baki tunai berbanding jumlah aset yang didakwa melebihi RM4 bilion," ujarnya.

Terdahulu, kira-kira 50 ahli dan peneroka KPF mengadakan demonstrasi aman dan mogok lapar di sini bagi menyuarakan nasib ribuan ahli yang terkesan akibat kelewatan pembayaran tebusan saham.

Sementara itu, bekas kakitangan Felda yang juga ahli KPF, Syed Alwi Syed Shariff, 61, berkata, isu berkenaan bukan lagi sekadar masalah teknikal atau kecuaian kecil, sebaliknya telah berkembang menjadi krisis keyakinan yang memberi kesan kepada hak ekonomi ahli KPF di seluruh negara.

"Isu ini menjejaskan lebih 9,000 ahli di seluruh negara, KPF sedang menahan dana bernilai jutaan ringgit yang menjadi hak mutlak para pencarum," katanya.

Syed Alwi berkata, berdasarkan rekod implikasi kewangan semasa, anggaran dana keseluruhan yang tersangkut dan diperlukan untuk melunaskan tuntutan penebusan saham ahli secara total adalah mencecah RM350 juta hingga RM400 juta.

"Sebagai bukti, kes saya yang kini sedang dibicarakan di Tribunal Koperasi melibatkan nilai tebusan sebanyak RM281,256," katanya.

Menurutnya, KPF mula mengakui mengalami masalah aliran tunai kritikal pada 2023 susulan kadar permohonan keluar yang didakwa melebihi langganan baharu.

"Pada Julai 2024, Pengerusi FELDA ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, memberikan jaminan awam bahawa isu kecairan bernilai RM200 juta itu akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan," katanya.

Katanya, bagaimanapun, tempoh sembilan bulan yang dijanjikan telah berlalu, sedangkan sebahagian ahli mendakwa masih menunggu pembayaran sejak 2023 dan 2024.

"Keadaan itu menyebabkan wang simpanan mereka tertunggak dan tidak dapat digunakan untuk tempoh lebih dua tahun tanpa penyelesaian yang jelas," katanya.

Beliau berkata, kegagalan menyelesaikan perkara itu turut menyebabkan ahli mengambil tindakan perundangan di beberapa peringkat.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat pada Mei 2025 bagi menggesa siasatan berhubung dakwaan penggunaan dana ahli untuk tujuan lain tanpa kelulusan.

"Kes ini kemudiannya dirujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan kini berada pada peringkat pendengaran Tribunal Koperasi.

"Selain itu, usaha sedang digerakkan untuk memfailkan tindakan representatif di Mahkamah Sivil bagi menuntut ganti rugi serta pelaksanaan spesifik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada 2023, KPF mula mengakui secara terbuka mengalami masalah aliran tunai yang kritikal kerana kadar permohonan keluar melebihi langganan baharu.

"Pada 11 Julai 2024, Pengerusi Felda pada ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, memberikan jaminan awam bahawa isu kecairan RM200 juta ini akan diselesaikan dalam tempoh enam hingga sembilan bulan.

"Beliau menegaskan bahawa KPF 'tidak berpenyakit' kerana memiliki aset melebihi RM4 bilion. Walau bagaimanapun, tempoh sembilan bulan yang dijanjikan telah pun luput," katanya.

Syed Alwi berkata, ahli telah menanti pembayaran mereka sejak awal 2023 dan 2024 lagi, bermakna wang simpanan mereka telah tertunggak dan beku melebihi 24 bulan (dua tahun lebih) tanpa sebarang noktah penyelesaian yang jelas.

"Ahli terpaksa mengambil tindakan perundangan yang agresif di pelbagai peringkat akibat kegagalan KPF menjaga dana amanah," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved