
KUALA LUMPUR – Lebih 9,000 ahli Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) mendesak penyelesaian segera berhubung kelewatan pembayaran tebusan saham bernilai jutaan ringgit.
Seorang ahli, Syed Alwi Syed Shariff mendakwa, beliau dan sebahagian ahli yang terjejas masih menunggu bayaran tebusan saham sejak 2023 dan 2024, dengan tempoh kelewatan dikatakan melebihi dua tahun.
Menurutnya, kelewatan berkenaan memberi kesan besar khususnya kepada golongan warga emas, pesara dan balu peneroka yang bergantung kepada wang simpanan sendiri untuk meneruskan kehidupan.
“Tidak dinafikan kami ada menerima dividen daripada simpanan yang dibuat, namun nilai yang kami terima tidak setimpal.
“Setiap kali saya mahu mengeluarkan simpanan, ada sahaja alasan diberikan. Mereka kata mereka tiada aliran tunai yang mencukupi untuk membayar kepada kami,” katanya ketika ditemui di hadapan Balai Felda, Jalan Gurney 1 di sini hari ini.
Terdahulu, Syed Alwi yang tinggal di Seremban bersama lebih 30 ahli yang terjejas mengadakan demonstrasi aman dan mogok lapar bagi mendesak penyelesaian segera isu kelewatan pembayaran tebusan saham berkenaan.
Dalam demonstrasi itu, mereka mengemukakan empat tuntutan utama kepada kerajaan dan pihak berkaitan.
Antaranya ialah campur tangan segera Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu menyelesaikan masalah kecairan KPF demi kebajikan peneroka.
Mereka turut menuntut penubuhan jawatankuasa siasatan bebas bagi menjalankan audit forensik terhadap pengurusan dana, pelaburan dan status aset KPF.
Selain itu, mereka mahu satu jadual pembayaran yang jelas serta mengikat diwujudkan dengan keutamaan diberikan kepada warga emas dan ahli yang berdepan keadaan kecemasan.
Mereka juga menuntut penjelasan rasmi mengenai kedudukan sebenar tunai dan kecairan KPF berbanding nilai aset yang dilaporkan.
Kumpulan berkenaan turut menyeru media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat Malaysia memberikan perhatian terhadap nasib ahli KPF yang didakwa masih menunggu hak mereka.
Sementara itu, peguam kepada Syed Alwi, Afiq Asyraf berkata, satu laporan polis telah dibuat pada 16 Mei 2025 bagi menggesa siasatan terhadap dakwaan berkaitan pengurusan dana ahli.
Katanya, perkara itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan kini berada pada peringkat pendengaran Tribunal Koperasi.
“Kami sedang menggembleng usaha untuk mengambil tindakan perundangan secara representatif bagi memperjuangkan tuntutan ahli yang terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 9,000 ahli KPF tuntut bayaran tebusan saham tertunggak appeared first on Kosmo Digital.


![[VIDEO] Bayaran saham tertunggak: Ahli KPF tuntut campur tangan PM](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/09/04/3636098.webp)


