Ahli MPP tak ada kuasa periksa lesen niaga - Hannah Yeoh

LocalPolitics
28 Mar 2026 • 5:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hannah Yeoh. Foto Bernama

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan majlis perwakilan penduduk (MPP) tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan dan tidak sepatutnya terlibat dalam urusan pemeriksaan lesen atau aktiviti di lapangan.

Hannah berkata, berdasarkan garis panduan sedia ada, MPP hanya berperanan sebagai penyelaras aduan penduduk dan bertanggungjawab membawa isu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa termasuk amalan orang tengah dalam urusan perniagaan.

“Kita sedang memudahkan cara orang membuat bisnes di Kuala Lumpur, tetapi ada had dan peraturannya. Untuk buat lesen, berhubung terus dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), jangan melalui ejen atau orang tengah.

“Amalan orang tengah saya nak hapuskan di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran KIPRUN 2026 di ibu negara pada Sabtu.

Sebelum ini tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kehadiran dua lelaki memperkenalkan diri sebagai ahli MPP meminta wang daripada sebuah pusat urut di Wangsa Maju.

Difahamkan, wang itu sebagai perlindungan daripada sebarang tindakan penutupan premis berikutan terdapat aduan penduduk.

Hannah pada Khamis juga dilapor mengarahkan satu laporan polis dibuat berhubung dakwaan berkenaan dan meminta siasatan dimulakan serta-merta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus kemudiannya mengesahkan pihaknya menerima sebanyak tiga laporan berhubung dakwaan itu pada Jumaat.

Susulan itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wangsa Maju turut diarah memaklumkan kepada dua ahli MPP Wilayah Persekutuan (WP) tersebut supaya melepaskan jawatan serta-merta.

Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan berkata, langkah berkenaan untuk memberi laluan kepada proses siasatan polis dan siasatan dalaman tanpa sebarang gangguan.

Mengulas lanjut mengenai peranan MPP, Hannah berkata, ahli MPP tidak mempunyai kuasa untuk turun ke lapangan termasuk memeriksa lesen perniagaan dan pergi berjumpa dengan pemaju.

“Yang itu semua ada platform dan forum misalnya melalui ‘town hall’ dan mesyuarat bersama di DBKL. Itu adalah tugas PBT, bukan tugas ahli MPP. MPP dengar aduan, bawa suara penduduk kepada PBT, itu saja,” ujar beliau.

Kata Hannah lagi, setakat ini pihaknya sedang menunggu hasil siasatan kes itu yang dilakukan pihak polis.