Kes jurugambar haram: Hannah Yeoh akan buat pemeriksaan mengejut di KLCC

LocalPolitics
28 Mar 2026 • 3:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hannah Yeoh. - Bernama

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh akan mengadakan pemeriksaan mengejut susulan aduan berhubung jurugambar haram yang didakwa mengganggu pelancong di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Beliau menegaskan, pemeriksaan mengejut dilakukan untuk memastikan rondaan dan penguatkuasaan lebih kerap dibuat oleh pihak berkuasa di kawasan berkenaan.

“Kita perlu pastikan lebih ramai penguat kuasa sama ada polis ataupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ada di tempat seperti itu kerana (kes jurugambar menganggu pelancong) memburukkan nama Malaysia.

“Kita juga mahu sesiapa yang kena ganggu oleh jurugambar seperti ini terus pergi buat laporan kepada pengawal keselamatan (di kawasan itu) ataupun (segera) buat laporan polis,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran KIPRUN 2026 di ibu negara pada Sabtu.

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan dua lelaki cedera di kepala dipercayai menjadi mangsa pukul jurugambar haram di KLCC pada malam Ahad.

Perkara itu dikongsikan pempengaruh yang juga bekas guru, Mohd Fadli Salleh menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila sekumpulan individu yang didakwa sebagai jurugambar haram bertindak agresif sehingga mencetuskan pergaduhan dengan pelancong asing di lokasi tumpuan tersebut.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan KLCC dan DBKL untuk memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di luar kawasan menara berkembar itu.

Beliau berkata, pemasangan CCTV tambahan penting bagi membantu mengenal pasti individu yang menjalankan perniagaan atau penawarkan perkhidmatan tanpa lesen atau tanpa kebenaran DBKL.

“Semasa bulan Ramadan, DBKL telah keluarkan lesen harian di bazar Syawal. Jadi untuk isu ini kita akan lihat (pendekatan sama iaitu mana-mana pihak tidak boleh menjalankan aktiviti bisnes tanpa kebenaran) supaya pelancong dan rakyat tidak dibuli kerana ia memburukkan nama Malaysia.

“Bila merea datang (tawar servis ambil gambar), lepas itu caj dan kalau pelancong (pula) tak faham (keadaan) lagi teruk. Pergaduhan seperti itu tak sepatutnya berlaku dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis dan saya minta polis ambil tindakan,” ujarnya.

Hannah juga telah meminta pihak pengurusan KLCC membuat laporan polis mengenai insiden tersebut.