Ahli Parlimen Bangi nafi berdiam diri isu penghinaan al-Quran

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 2:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Syahredzan

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menafikan dakwaan kononnya beliau berdiam diri berhubung insiden penghinaan terhadap al-Quran yang berlaku sebelum ini.

Syahredzan berkata, beliau telah menjangka tuduhan sedemikian akan timbul apabila mengeluarkan kenyataan berhubung agama Hindu.

'Masa al-Quran dipijak, Ahli Parlimen Bangi senyap sahaja', menurut satu komen di media sosial yang dipetik beliau.

"Saya sudah agak tuduhan ini akan dilemparkan bila saya keluar kenyataan semalam. Memang sejak insiden penghinaan terhadap al-Quran bulan lepas, ramai yang tuduh saya membisu sampai saya kena siar semula kenyataan saya.

"Nah, sekarang jadi lagi. Walhal, saya antara yang awal juga mengeluarkan kenyataan untuk mengutuk tindakan menghina al-Quran dan dilaporkan meluas dalam media," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Syahredzan bagaimanapun memaklumkan beliau tidak ada masalah untuk menerima sebarang kritikan atau kecaman.

"Saya okay sahaja terima kritikan atau kecaman, tetapi berlaku adil pada saya lah. Tabayyun sebelum tibai, Google dan ChatGPT pun ada zaman ini atau 'scroll page' saya.

"Sudah-sudahlah memfitnah, banyakkan amal ibadah dalam 10 malam terakhir Ramadan ini. Peringatan buat diri saya sendiri juga," katanya.

Syahredzan yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP pada Selasa dilaporkan berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas dan segera susulan perbuatan seorang individu yang didakwa menghina simbol agama Hindu.

Ujarnya, mengutuk keras tindakan yang melampau itu, sama seperti kecamannya terhadap perbuatan menghina al-Quran bulan lalu.