Ahli Parlimen Diberi Pilihan Hadir Sidang Tanpa Pakai Tali Leher

Entertainment
20 Dec 2022 • 11:03 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Semalam merupakan mesyuarat Penggal Pertama Parlimen ke-15 dan menjadi Persidangan Dewan Rakyat pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengangkat sumpah jawatan 24 November lalu.

Menerusi persidangan pada hari kedua, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul telah memberi pilihan kepada Ahli Parlimen yang hadir untuk dikecualikan daripada memakai tali leher.

image is not available

“Cuma satu peringatan dan permintaan, ada cadangan untuk esok, mereka yang nak pakai sut saya kecualikan daripada memakai tali leher. Jadi boleh datang dengan baju Melayu ataupun dengan sut tetapi tanpa tali leher, ia adalah pilihan,” katanya.

Memetik sumber Astro Awani, individu lelaki yang memasuki Parlimen perlu mengenakan kot, kemeja lengan panjang, bertali leher dengan digalakkan berwarna gelap berdasarkan Panduan Pakaian Di Dalam Dewan Persidangan dalam portal Parlimen.gov.my

Mereka juga boleh memakai pakaian kebangsaan atau tradisional yang lengkap dengan kasut kulit bertutup atau lain-lain kasut yang sejenis dengannya dan berwarna gelap serta berstoking.

Untuk rekod, dalam beberapa siri mesyuarat Kabinet belakangan ini, anggota Jemaah Menteri dilihat tidak memakai tali leher seperti biasa.

Amalan tanpa bertali leher tersebut dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menjadi Perdana Menteri.

Simbol disebalik pemakaian tali leher

Seperti biasa yang kita lihat, pemakaian sut dikenakan dengan tali leher bagi melengkapi gaya tersebut dan sering dipakai di majlis-majlis formal oleh orang kenamaan dan golongan atasan.

Bagaimanapun, pemakaian sut tanpa leher yang dimulakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat perhatian ramai apabila beberapa kali beliau dilihat memakai sut tanpa tali leher.

image is not available

Seorang pengguna Twitter, Nik Amirul Faiz@nafnmy tampil merungkai di sebalik tindakan Anwar tidak memakai tali leher ketika mengenakan pemakaian sut.

Kata Nik Amirul, simbol pemakaian tali leher mempunyai pelbagai makna mengikut budaya di seluruh negara.

Salah satu budaya mendapati bahawa pemakaian tali leher ini memberi makna simbol penyerahan dan penghambaan terhadap masyarakat elit yang terlibat dalam korupsi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat secara konsisten tidak memakai tali leher dan tindakannya itu mungkin memberi makna bahawa beliau tidak mahu menyerah dan menghambakan diri kepada kumpulan masyarakat elit yang korup.

Namun begitu, ketika menghadiri majlis yang turut disertai oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, beliau dilihat memakai sut lengkap bersama tali leher. Mungkin tindakannya itu memberi simbol bahawa beliau taat dan patuh pada baginda.

Tetapi penjelasan yang dikeluarkan oleh pengguna Twitter ini mungkin tidak memberi maksud yang sama oleh Anwar terhadap tindakannya itu.

Jika benar mesej yang ditafsirkan, secara tidak langsung perkara itu membuka minda kita untuk lebih peka dengan tindak-tanduk pemimpin.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.