Ahli Parlimen minta LTAT jelaskan pemilihan Achi Jaya ambil alih Boustead Plantations

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 3:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ahli Parlimen minta LTAT jelaskan pemilihan Achi Jaya ambil alih Boustead Plantations Image from: Ahli Parlimen minta LTAT jelaskan pemilihan Achi Jaya ambil alih Boustead Plantations johardy17/11/2026 - 15:48 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menjelaskan asas pemilihan Achi Jaya Plantations Sdn Bhd yang dilaporkan dipilih untuk mengambil alih kepentingan dalam Boustead Plantations Berhad (BPlant).

 

Beliau berkata, laporan mengenai transaksi yang dianggarkan hampir RM4 bilion itu menimbulkan persoalan mengenai kriteria pemilihan, kemampuan pembiayaan pembeli serta manfaatnya kepada pencarum LTAT.

 

Menurutnya, Achi Jaya dilaporkan mempunyai operasi perladangan jauh lebih kecil berbanding dua pesaingnya, SD Guthrie Berhad dan Tradewinds Plantation Berhad.

 

“Apakah asas penilaian yang menyebabkan syarikat ini dilaporkan diberikan keutamaan?” soalnya dalam kenyataan di Facebook.

 

Ahmad Fadhli berkata, menurut laporan media yang memetik penyata kewangan 2024, Achi Jaya merekodkan hasil RM379 juta, keuntungan selepas cukai RM109 juta dan aset semasa RM93 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: LTAT pilih Achi Jaya ambil alih Boustead Plantations atasi bidaan SD Guthrie, Tradewinds

 

Justeru, beliau meminta penjelasan mengenai struktur pembiayaan transaksi bernilai berbilion ringgit itu, termasuk sumber dana dan jaminan pembayaran.

 

Dedah perbandingan tawaran dan kriteria pemilihan

Beliau turut menggesa LTAT mendedahkan perbandingan nilai tawaran ketiga-tiga syarikat, kriteria pemilihan, status kelulusan serta justifikasi kewangan yang menunjukkan transaksi itu memberikan manfaat terbaik kepada pencarum.

 

Katanya, struktur pemilikan benefisial terkini Achi Jaya juga wajar didedahkan bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan sebarang konflik kepentingan.

 

Ahmad Fadhli mengingatkan supaya kesilapan dan kelemahan tadbir urus pelaburan LTAT yang pernah didedahkan sebelum ini tidak berulang.

 

Beliau merujuk Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2022 yang menurutnya mendedahkan penjejasan nilai pelaburan RM812 juta yang tidak direkodkan melibatkan Boustead Holdings dan Pharmaniaga, rizab negatif RM338 juta serta kerugian tidak nyata RM662 juta dalam 41 portfolio saham lama.

 

Menurutnya, laporan sama turut mendedahkan keuntungan bukan tunai RM189 juta yang digunakan sebagai asas pembayaran dividen 2022, manakala teguran mengenai risiko kecairan tunai dan pengurusan pelaburan sepatutnya menjadi pengajaran dalam setiap keputusan korporat LTAT.

 

“LTAT bukan institusi pelaburan biasa. Ia memegang amanah terhadap simpanan dan masa depan anggota serta pesara Angkatan Tentera Malaysia. Sebarang pelupusan aset strategik bernilai berbilion ringgit mesti dilaksanakan secara telus, berhemah dan berpaksikan kepentingan pencarum,” katanya. — DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved