johardy17/11/2026 - 09:50 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Achi Jaya Plantations Sdn Bhd, syarikat perladangan persendirian yang mempunyai sejarah pemilikan berkaitan keluarga bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud menjadi perhatian selepas dilaporkan dipilih oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk mengambil alih Boustead Plantations Berhad (BPlant) pada anggaran harga kira-kira RM3.5 bilion.
Menurut laporan Berita Harian, Achi Jaya mengatasi dua syarikat perladangan yang jauh lebih besar, SD Guthrie Berhad dan Tradewinds Plantation Berhad, dalam persaingan mendapatkan aset perladangan milik LTAT itu.
Achi Jaya Plantations, yang diperbadankan pada 10 Februari 2001 dengan nombor pendaftaran 200101003116 (538814-H), menjalankan kegiatan perladangan dan pengilangan kelapa sawit, selain mempunyai kepentingan dalam perniagaan pengurusan serta pengoperasian hotel.
Syarikat itu mempunyai sejarah pemilikan yang menarik perhatian kerana antara pemegang sahamnya yang dilaporkan ialah Tan Sri Onn Mahmud, adik kepada Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, yang pernah menerajui pentadbiran Sarawak selama lebih tiga dekad.
Menurut laporan The Edge Malaysia pada 11 Julai 2022 yang memetik rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dua syarikat yang diperbadankan di Hong Kong, Herolite Investment Ltd dan Grand Shine Trading Ltd, masing-masing memiliki 37 peratus kepentingan dalam Achi Jaya Plantations.

Dua syarikat Hong Kong kuasai 74 peratus kepentingan
Rekod pemilikan yang dilaporkan ketika itu turut menunjukkan Achi Jaya Holdings Sdn Bhd memegang 14 peratus kepentingan, manakala Onn Mahmud memiliki 12 peratus secara langsung dan isterinya, Halimatun Abdul Ghani, memegang satu saham.
Gabungan kepentingan Herolite Investment dan Grand Shine Trading menjadikan kedua-dua entiti Hong Kong itu pemegang saham terbesar Achi Jaya Plantations, dengan jumlah pegangan sekitar 74 peratus berdasarkan maklumat yang dilaporkan pada 2022.
Achi Jaya Holdings pula dilaporkan dimiliki Onn Mahmud, sekali gus memberikan beliau kepentingan secara langsung dan tidak langsung dalam syarikat perladangan berkenaan. Bagaimanapun, struktur pemegang saham semasa belum dapat dipastikan berdasarkan rekod sejarah tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: LTAT pilih Achi Jaya ambil alih BPlant atasi bidaan SD Guthrie, Tradewinds
Perniagaan merangkumi perladangan dan perhotelan
Dari segi prestasi kewangan, Achi Jaya Plantations dilaporkan mencatatkan hasil sebanyak RM173.43 juta bagi tahun kewangan 2020, dengan keuntungan bersih RM41.35 juta, menurut laporan The Edge yang merujuk rekod SSM.
Kumpulan Achi Jaya juga dilaporkan terbabit dalam pengambilalihan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur pada 2022, dengan nilai transaksi dianggarkan sekitar RM250 juta berdasarkan sumber yang dipetik laporan berkenaan.
Dalam sektor perladangan, dokumen pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada November 2025 merekodkan kawasan tanaman sawit seluas 11,702 hektar (28,916 ekar) dalam skop audit Achi Jaya, yang merangkumi Sungei Gerchang Estate, Johore Labis Estate dan Claire Estate di kawasan Chaah, Johor.
Keluasan tersebut tidak semestinya menggambarkan keseluruhan bank tanah atau operasi perladangan Achi Jaya kerana ia merujuk kepada kawasan yang direkodkan dalam skop audit berkenaan.
Pengambilalihan BPlant bakal mengubah skala operasi
Sebagai perbandingan, BPlant dilaporkan mempunyai bank tanah sekitar 97,500 hektar (240,927 ekar), termasuk kira-kira 72,200 hektar (178,410 ekar) kawasan tanaman kelapa sawit.
Sekiranya semua kawasan tanaman sawit BPlant termasuk dalam pengambilalihan, gabungan keluasan tanaman sawit yang direkodkan bagi kedua-dua syarikat boleh mencecah 83,902 hektar (207,326 ekar), tertakluk kepada struktur transaksi dan tiada pertindihan aset.
Bagaimanapun, butiran mengenai kepentingan ekuiti yang akan diperoleh, sumber pembiayaan, syarat pembayaran serta struktur akhir transaksi bernilai kira-kira RM3.5 bilion itu masih belum diperincikan kepada umum. — DagangNews.com





