
LIPIS – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff cedera di bahagian dada dan perut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki terbabas di Kilometer (KM) 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Kechau Tui, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian pada pukul 6 petang itu berlaku ketika SUV tersebut dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Katanya, SUV itu dipandu anak perempuan Siti Zailah berusia 26 tahun, manakala Ahli Parlimen berkenaan yang berusia 63 tahun duduk di kerusi penumpang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu SUV dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing dan melanggar penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Siti Zailah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan dan kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
“Kita memohon kerjasama saksi kejadian supaya tampil membantu siasatan. Semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu secara berhati-hati dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ahli Parlimen Rantau Panjang cedera, SUV terbabas dipandu anak appeared first on Kosmo Online.






