PETALING JAYA - Seorang ahli perniagaan minyak masak terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas tiga pertuduhan menyalahgunakan tiga kenderaan milik sebuah syarikat, dengan menjualnya pada 2023 dan 2025 lalu.
Mohd Faisal Ismail, 41, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa selaku pemegang saham dalam Syarikat Infinity Global Bioenergy (M) Sdn Bhd, menyalahgunakan harta milik syarikat iaitu masing-masing sebuah Range Rover SVR, lori Hino dan Mercedes-Benz S580e, dengan menjualnya tanpa kebenaran.
Kesalahan didakwa dilakukan di syarikat itu di Taman Perindustrian Kinrara, Seksyen 2, Puchong, pada Disember 2023, Mac dan Mei 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Mahkamah membenarkan lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 12 Ogos depan.






