Dikaitkan isu pecah amanah litar RM40 juta, Sanusi jawab fitnah -“Duit apa hilang pun saya tak tahu!”

LocalPolitics
8 Oct 2026 • 11:57 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan sebarang penglibatan dirinya mahupun kerajaan negeri dalam kes pecah amanah membabitkan kira-kira RM40 juta yang dikaitkan dengan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.

Muhammad Sanusi berkata, beliau sendiri tidak mengetahui butiran kes berkenaan, termasuk identiti individu yang ditahan serta wang yang didakwa hilang.

Malah, beliau meluahkan rasa kesal apabila namanya turut dikaitkan dengan kes tersebut sehingga mencetuskan pelbagai tuduhan tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Saya pun tak tahu, saya nak jawab bagi pihak orang lain pun tak boleh. Kamu pergi cari syarikat itu. Orang itu pun saya tak kenal, siapa yang kena tangkap, saya tak tahu. Duit apa hilang pun saya tak tahu.
“Jadi macam mana tuduh Sanusi pula? Dia kata ‘Nusi balas RM40 juta pula dah’. Tak payahlah fitnah kalau tak tahu apa-apa,” katanya.

May be an image of dais and text

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hak Milik dan Kunci Rumah Desa Sejahtera Kampung Perik di Kuala Nerang, Kedah.

Terdahulu, seorang pengarah syarikat wanita berusia lingkungan 30-an dilaporkan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes pecah amanah kira-kira RM40 juta berkaitan projek litar lumba berkenaan.

Wanita itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bukit Aman di Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

Sementara itu, mengulas mengenai status projek litar lumba yang terbengkalai, Muhammad Sanusi memaklumkan kerja-kerja di tapak pembinaan masih diteruskan.

Image from: Dikaitkan isu pecah amanah litar RM40 juta, Sanusi jawab fitnah -“Duit apa hilang pun saya tak tahu!”

Katanya, kerajaan negeri kini sedang meneliti beberapa pilihan bagi menentukan masa depan projek tersebut, termasuk kemungkinan diteruskan sebagai projek kerajaan atau diserahkan kepada pihak swasta.

“Saya naik helikopter hari itu untuk tengok, mereka masih buat kerja. Projek itu sama ada jadi projek swasta atau kerajaan, kita akan pertimbangkan.
“Kalau terlalu besar, di luar kemampuan kerajaan biarlah pihak swasta yang jalankan. Kalau dalam lingkungan yang kerajaan mampu belanja misalnya RM20 juta, kita beli saja projek itu,” katanya  lagi.

Sumber: Utusan Malaysia (Jamliah Abdullah)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved